'Tarik segera cadangan #2kerja' - MTUC
Wan Syamsul Amly
Disember 28, 2015 14:18 MYT
Disember 28, 2015 14:18 MYT
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kerajaan untuk menggugurkan saranan supaya mengalakkan golongan berpendapatan rendah memiliki dua kerja dalam satu masa.
Setiausaha Agungnya, N Gopal Krishnam berkata, cadangan asal oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan itu dilihat berpotensi menjejaskan keluarga dan kesihatan pekerja.
"Kajian mendapati memiliki dua pekerjaan boleh membawa impak negatif ke atas kesihatan, produktiviti dan masa bersama keluarga seseorang pekerja.
"MTUC menggesa Kerajaan supaya memikirkan pendekatan dan merumuskan strategi berkesan bagi memastikan pekerja sama ada sektor swasta atau awam untuk meraih pendapatan mencukupi untuk keluarga serta diri mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Maslan membuat saranan itu sebagai salah satu langkah untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
Ahmad Maslan turut menjelaskan memiliki dua pekerjaan bukan perkara yang asing dan dilakukan di serata dunia.
Dalam pada itu kata N Gopal, pihaknya akan membawa isu berkenaan ke perhatian Kementerian Sumber Manusia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencari kaedah menaikkan gaji pekerja.
"Kita berharap kerajaan menarik balik saranan itu dan tidak mengalakkan rakyat memiliki dua pekerjaan.
"Kita juga berharap pertubuhan majikan untuk tidak menyokong saranan berkenaan," ujarnya.