Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu walaupun setakat ini tidak menerima sebarang aduan berlaku perbuatan 'mengalibabakan' tapak atau lot perniagaan yang disediakan kepada peniaga untuk Ramadan kali ini.
"Kita sudah minta pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku pihak yang mengeluarkan lesen atau permit untuk melakukan pemantauan dan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang terbabit termasuk tidak membenarkan mereka berniaga.
"Tindakan mereka umpama menganiaya pihak yang benar-benar ingin berniaga tetapi kita lega sebab setakat ini, kita tidak dengar kes seperti ini berlaku di Selangor terutamanya di tapak atau ruang perniagaan yang disediakan PBT atau agensi di bawah kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan meminta penguat kuasa PBT sentiasa berada di lokasi bagi menjamin kawasan bazar Ramadan yang melibatkan 15,882 tapak di seluruh Selangor, tidak dicerobohi peniaga haram.
Berhubung FESTIRA, Amirudin berkata walaupun setelah 11 tahun dianjurkan, festival brkenaan kekal menjadi pilihan rakyat Selangor sebagai lokasi beli-belah yang wajib dikunjungi sepanjang Ramadan.
Beliau berkata FESTIRA yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui anak syarikat PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dirangka khusus bagi menyokong agenda kerajaan negeri dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan.
Festival kali ini, katanya disertai 1,500 usahawan yang menawarkan pelbagai produk melibatkan empat lokasi iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, pusat beli-belah SACC Mall, Kompleks PKNS Bangi dan satu lokasi baharu iaitu di Galeria SA Sentral di Seksyen 14.
"Kita sasarkan kehadiran tiga juta pengunjung dengan transaksi jualan sekitar RM100,000 bagi setiap peniaga," katanya.
-- BERNAMA
