Tarik lesen pengendali bot yang tidak amal aspek keselamatan - Subramaniam
Bernama
Julai 20, 2015 08:00 MYT
Julai 20, 2015 08:00 MYT
Pengendali bot-bot penumpang yang tidak mengamalkan aspek keselamatan, digesa agar ditarik balik lesen mereka. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, insiden bot karam yang berlaku di Tanjung Karang pada Khamis lepas berpunca daripada penumpang bot yang tidak memakai jaket keselamatan.
"Telah beberapa kali berlaku insiden sebegini disebabkan faktor keselamatan tidak diutamakan...saya diberitahu bahawa mereka tidak memakai jaket keselamatan ... perkara ini tidak diambil berat.
"Jika mereka memakai jaket keselamatan, perkara sebegini boleh dielakkan," katanya kepada media selepas melawat keluarga mangsa iaitu M Kunasegaran, 57, yang dilaporkan meninggal dunia dalam insiden berkenaan.
Bot yang dinaiki 14 orang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada jam 3 petang Khamis lepas bagi melakukan upacara keagamaan.
Dalam pada itu, Dr Subramaniam yang bersimpati dengan keluarga mangsa turut menyampaikan sumbangan peribadinya kepada mereka.
"Saya datang ke sini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa bot karam yang tenggelam di Tanjung Karang akibat daripada kerosakan bot.
"Hari ni juga saya beri bantuan peribadi saya...tentang bantuan kerajaan pula kita akan bincangkan dengan kementerian berkaitan dan Perdana Menteri bantuan apa yang akan disalurkan kepada keluarga ini," katanya yang juga pemangku presiden MIC.
Menurutnya lagi, tiga upacara pembakaran mayat dilakukan oleh keluarga mangsa, manakala selebihnya akan dilakukan pada Isnin.
"Di rumah ini, tiga upacara pembakaran mayat telah dilakukan dan baki tiga mangsa, dua daripadanya berada di Hospital Tanjung Karang dan seorang lagi telah dikenal pasti dan mereka akan menjalankan upacara akhir hari ini," katanya.
Bot itu dikatakan bocor dan kesemua mangsa saling menimba air sebelum ia dilapor karam semasa dalam perjalanan pulang kira-kira dua jam kemudian.
Selain M. Kunasegaran, enam mayat ditemui setakat ini dikenal pasti sebagai A. Parianathan, 30, yang berasal dari Taman Aman Sekinchan, Selangor, A. Muniamah, 49; K. Logaraj, 29; M. Gnaswdree, 59; G. Jaya Sangari, 27 dan Ravi Shankar, 57, kesemuanya berasal dari Sungai Buloh, Selangor.
Tujuh lagi yang terselamat ialah P. Alumalai, M. Sugamaran, V. Nagaswari, N. Sanmugan, C. Sabtayan, C. Sundraja dan S. Partiven.
Mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan.