Tarik lesen dan senarai hitam syarikat terlibat pembalakan haram

Media Statement
Mei 16, 2015 10:15 MYT
Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Tan Sri Lee Lam Thye, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.
Kejayaan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Operasi Gergaji selepas serbuan dibuat di 49 lokasi di enam kawasan seluruh Sarawak adalah dipuji dalam menumpaskan kegiatan pembalakan haram dan salah laku rasuah dalam sektor perhutanan.
Tindakan ini sewajarnya dijadikan amaran kepada mana-mana syarikat lain yang terlibat dalam industri pembalakan dan perkayuan di seluruh Malaysia bahawa Suruhanjaya ini serius dalam menangani gejala rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta mengelak cukai kerajaan.
Yayasan turut memuji iltizam politik yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem kerana beliau bersungguh-sungguh dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pembalakan haram dan salah laku rasuah.
Operasi bersepadu SPRM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia termasuklah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri perlu diteruskan dalam mana-mana operasi lain bagi membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Sehingga hari ini Operasi Gergaji SPRM telah menyita 1,570 batang kayu balak bernilai RM1juta.
Yayasan juga memandang serius sekiranya ada pihak penguatkuasa yang terlibat dalam mana-mana aktiviti ini demi untuk kepentingan diri.
Yayasan mencadangkan agar penempatan pegawai-pegawai penguatkuasa khususnya di lokasi ‘panas’ perlu sering ditukar bagi memastikan ruang dan peluang pelakuan rasuah dapat dipantau dan terus dibanteras.
Semua pihak yang terlibat termasuk agensi penguatkuasa perlulah lebih prihatin tentang impak negatif aktiviti ini ke atas alam sekitar, hak dan ekonomi.
Pemilik-pemilik syarikat balak harus terus menjalankan aktiviti mereka secara sah dan lebih bertanggungjawab. Konsesi balak yang diberikan seharusnya tidak disalahguna untuk kepentingan dan keuntungan sendiri yang telah mengakibatkan ketirisan dana kerajaan.
Yayasan menggesa agar mana-mana syarikat yang didapati bersalah dikenakan hukuman tegas yang setimpal termasuk menarik lesen serta disenarai hitam.
-------------------------------------------------------------------------
Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Tan Sri Lee Lam Thye, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.
#Ops Gergaji #pembalakan haram