Tarik lebih pelancong, MATTA sambut baik insentif daripada kerajaan
Norsiah Mohd Ramli
Februari 1, 2016 15:11 MYT
Februari 1, 2016 15:11 MYT
Persatuan Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengalu-alukan insentif daripada kerajaan kepada syarikat dan agensi pelancongan sekiranya berjaya menarik pelancong asing ke negara ini.
Presidennya, Datuk Hamzah Rahmat berkata, perkara tersebut sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menimbang untuk memberi peruntukan kepada syarikat dan agensi pelancongan untuk mengadakan promosi di luar negara kerana kosnya yang sangat mahal.
"Kita tidak boleh promosi di dalam Malaysia sahaja, kita harus mempromosikan produk kita di seluruh dunia seperti di tempat-tempat pameran di London, Berlin dan Arab Saudi.
"Biasanya pameran-pameran di luar negara ini memakan belanja yang sangat banyak dan sekiranya kerajaan dapat membantu memberi peuntukan sekurang-kurangnya 60 peratus, ia dapat membantu agensi pelancongan untuk bergiat dengan lebih baik dalam menarik pelancong ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Tambah Hamzah, masyarakat juga perlu menukar mentaliti terhadap pelancong asing kerana mereka menyumbang kepada ekonomi negara.
"Mentaliti masyarakat terhadap pelancong harus diubah. Kita harus menerima pelancong yang datang dari luar negeri sebaiknya dari segi cara melayani mereka dan sebagainya.
"Sekiranya kita ambil secara remeh-temeh, mereka akan memberi komen buruk terhadap Malaysia," jelasnya.
Hamzah juga berkata, penyelenggaraan kemudahan seperti tandas awam di nergara ini perlu dititik berat kerana ia turut memberi impak kepada pelancongan di negara ini.
Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan mencadangkan tiga bentuk insentif kepada Kabinet bagi menggalak syarikat dan agensi pelancongan membawa lebih banyak pelancong luar ke negara ini.
Pertama, mana-mana pegawai syarikat yang membawa pelancong dari luar negara akan diberikan elaun khas.
Kedua, pengurangan cukai korporat kepada syarikat dan agensi pelancongan yang dapat menarik kedatangan pelancong asing serta peruntukan khas untuk syarikat dan yang ketiga, agensi pelancongan menampung kos bahan cetak dan pengiklanan untuk tujuan promosi.