Tarik barangan kitar semula guna kerusi roda sejauh 18km sehari, ini kisah Mohd Tharim

Fareez Azman
Mac 10, 2022 09:00 MYT
Rutin harian Mohd Tharim Mohd Said menarik barangan kitar semula yang dikumpulnya di sekitar ibu kota menggunakan kerusi roda yang diubah suai sendiri. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.'
Itu ibarat perumpamaan buat Mohd Tharim Mohd Said, 52, yang penulis dekati baru-baru ini berhampiran Kampung Baru, di ibu negara.
Terdetik hati penulis apabila melihat Mohd Tharim yang menggunakan kerusi roda berhempas pulas menarik muatan barangan terpakai untuk dijual.
Ketika ditemui, jelas ayah kepada empat orang cahaya mata ini yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan, kehidupannya berubah hampir sembilan bulan lalu selepas mengalami kemalangan di tempat kerja.
Bertugas sebagai tukang cat sepenuh masa, namun pada hari kejadian, nasib Mohd Tharim tidak lagi sama apabila dia terjatuh daripada tingkat tiga menyebabkan tulang di bahagian pinggang, pinggul, peha dan betisnya patah.
"Pakcik ada anak empat orang dan isteri, tetapi sejak di hospital lagi pakcik dah minta mereka balik kampung sebab pakcik dah tahu keputusan kecederaan pakcik ini sebab patah pinggang, punggung, kaki dan peha.
"Jadi masuk besi di peha, di betis tiada masalah, tapi di punggung dan pinggang ini ada masalah yang agak makan masa panjang untuk pulih," jelasnya.
Ia menyebabkan dirinya tidak lagi dapat bekerja seperti biasa, sebaliknya tiada pilihan lain selain berikhtiar menjual barangan kitar semula.
Jika sebelum ini, gajinya mencecah RM5,000 sebulan, kini semua itu hanya kenangan sahaja.
Tekad cari duit sendiri
Reda dengan ketentuan Ilahi, Mohd Tharim mengaku pernah menjadi peminta sedekah semata-mata untuk menampung kehidupan hariannya.
Namun ia tidak bertahan lama, apabila duit yang dikumpulnya digunakan untuk membeli kerusi roda agar lebih mudah bergerak mencari barangan kitar semula untuk dijual.
"Dulu pakcik minta sedekah juga mula-mula dulu masa pakcik baru keluar hospital.
"Cuma ada kerusi roda hospital untuk tempoh dua minggu sahaja, selepas itu pakcik minta sedekah depan Maybank dekat Pudu.
"Duit itu pakcik dapat beli kerusi roda kemudian pakcik pun berfikir macam mana untuk berdiri atas kaki sendiri dan sekarang pakcik pengutip barangan kitar semula," jelasnya sambil tersenyum.
Berkerusi roda 18 kilometer sehari
Semangatnya kuat, demi memastikan setiap hari ada makanan dapat dibeli hasil jualan barangan kitar semula.
Saban hari, rutin harian Mohd Tharim bermula jam 6 pagi dari Pasar Chow Kit ke Jalan Tunku Abdul Rahman, sebelum meneruskan pencarian ke Dataran Merdeka, Pudu dan Kampung Baru.
Mana sahaja ada barangan kitar semula termasuk di dalam tong sampah, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil dan mengumpulkannya.
"Daripada Pasar Chow Kit, pakcik akan terus ke Dataran Merdeka, kemudian akan ke bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut sehingga ke Masjid Kampung Baru jadi perjalanan itu lebih kurang 17 hingga 18 kilometer sehari," jelasnya.
Semua barangan yang berjaya dikumpul kemudian akan dibawa ke salah sebuah kedai menjual besi buruk berhampiran.
"Biasa pakcik akan tidur depan kedai besi buruk, bila kedai itu buka je pakcik akan jual.
"Bila dah kosong pakcik akan pusing satu pusingan lagi dari Jalan TAR, Dataran Merdeka sampai ke Masjid Kampung Baru. Macam ini pakcik dapat lah dalam RM12 hingga RM15 sehari," kata bapa kepada empat anak itu sambil tersenyum.
Berharap kembali sembuh
Hanya berbekalkan kudrat di usianya dengan bantuan kerusi roda, kegigihannya itu tidak dapat dibayangkan penulis.
Ketika berbual dengan Mohd Tharim, datang seorang penghantar makanan Foodpanda mendekati kami dan memberikan sebungkus nasi kepadanya.
Ternyata ia membuatkan senyumannya terukir seketika.
"Pakcik harap kalau ada orang melihat pakcik di tepi jalan ini, mudah-mudahan boleh berdoa agar pakcik cepat sembuh.
"Pakcik selesa dengan kehidupan ini, di dunia ini tidak ada makanan percuma," katanya lagi.
Keluarga tidak setuju
Ditanya mengenai keluarganya, ujar Mohd Tharim, pada awalnya keluarga terutama adik beradiknya tidak bersetuju caranya itu.
Namun tegasnya, demi memastikan dirinya bekerja dengan kudrat sendiri dia tekad melakukannya.
"Jauh di sudut hati mereka (anak-anak dan adik beradik), saya tahu mereka tidak setuju pun dengan apa yang saya lakukan ini.
"Cuma bagi pakcik satu hari nanti mereka akan sedar kenapa pakcik lakukan ini," katanya lagi.
Anaknya yang sulung, jelas Mohd Tharim telah bekeluarga, manakala kedua dan ketiga pula sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Bantuan telah diminta
Dari sudut bantuan pula, jelasnya dia telah memohon dari beberapa agensi namun masih diproses ketika ini.
"Bab bantuan ini dia lebih berbentuk one-off. Kalau daripada Baitumal, Jakim adalah datang minta kita isi borang.
"Ada lah sekali dua pakcik isi borang, mungkin dalam masa beberapa bulan sejak PKP 2. Mungkin dalam proses, mungkin belum sampai giliran pakcik kot," jelasnya lagi.
Mohd Tharim juga mengakui pernah menginap di beberapa Pusat Transit Gelandangan di ibu negara, namun kekangan jadual yang memerlukan setiap penginap untuk pulang sebelum jam 10 malam menghalang dirinya untuk keluar mencari rezeki.
"Bukan pakcik tidak pernah tinggal di Pusat Transit, pernah. Banyak tempat dah pakcik tinggal, tapi syaratnya setiap penginap kena balik sebelum jam 10 malam.
"Pakcik keluar mencari rezeki kadang kala sampai jam 9.40 malam, nak menarik barangan dengan kerusi roda ini lagi tidak sempat untuk pulang. Jadi pakcik bertekad untuk tidur di masjid," luahnya lagi.
Kadang kala Mohd Tharim berehat dan tidur di Masjid Kampung Baru dan Dang Wangi.
Ketika berbual hampir satu jam bersama Mohd Tharim, jauh di sudut hati penulis, dia amat memerlukan bantuan secepat mungkin.
Ketika berehat di hadapan sebuah bangunan di ibu negara, Mohd Tharim mengeluarkan bekalan yang diberikan penghantar makanan.
Sambil menikmati hidangan, ternyata berlinang air mata Mohd Tharim mengenang kembali nasib menimpanya.
Katanya setiap hari, hanya roti sahaja menjadi pengalas perut, jika lebih banyak barangan kitar semula dapat dijual, barulah dapat menikmati nasi bungkus.
Kisah Mohd Tharim ini sudah tentu meruntun jiwa pembaca, namun inilah realiti kehidupan di ibu kota.
Apa yang diharapkan, insan seperti Mohd Tharim ini dapat diberikan bantuan secukupnya agar nasibnya terbela.
Penulis sedang mendapatkan reaksi pihak-pihak berkaitan berhubung bentuk bantuan yang dapat dihulurkan bagi membantu Mohd Tharim dan keluarga.
#gelandangan #Mohd Tharim #realiti #kitar semula
;