Tarik balik sijil halal pengusaha yang membazir ketika Ramadan - PPIM

Astro Awani
Jun 11, 2016 07:45 MYT
Pengusaha hotel atau restoran yang menawarkan hidangan bufet berbuka disaran mengenakan denda ke atas pelanggan yang melakukan pembaziran makanan sepanjang Ramadan ini.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa JAKIM menarik balik sijil halal restoran dan hotel yang membuang makanan secara berlebihan, terutamanya hidangan bufet berbuka puasa yang disediakan sepanjang bulan Ramadan.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata langkah itu bagi mengelakkan amalan pembaziran makanan setiap tahun yang disifatkannya sebagai satu kejahilan kepada umat Islam.
"Ini melibatkan makanan dan amalan Islam itu sendiri. Jadi kalau ada pembaziran luar biasa, kemungkinan sijil halal yang ada pada hotel itu juga perlu dikaji semula.
"Pembaziran oleh hotel itu seharusnya direkod dan kerajaan tempatan harus mengenakan denda ke atas makanan yang dibuang," kata Nadzim.
Selaras dengan usaha itu, beliau turut menyarankan agar pengusaha hotel atau restoran yang menawarkan hidangan bufet berbuka mengenakan denda ke atas pelanggan yang melakukan pembaziran makanan sepanjang Ramadan ini.
"Sementara itu, hotel juga boleh mendenda pengguna yang mengambil makanan secara berlebihan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan bulan Ramadan ini sebagai satu pesta makan.
"Kita kena balik kepada matlamat puasa itu sendiri untuk berkongsi rasa dengan orang, untuk menyedarkan diri kita dan melatih diri sendiri. Namun nampak gayanya, perkara ini tidak berlaku. Kita menjadikan puasa sebagai satu pesta makanan.
"Perkara ini seharusnya tidak berlaku kerana dalam Islam itu sendiri, kita diajar untuk berjimat. Seharusnya bulan puasa kita makan kurang, kalau bulan biasa kita berbelanja barangan dapur atau makanan sebanyak RM1,000 sebulan, mungkin kurangkan kepada RM700 sahaja pada bulan Ramadan."
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai statistik rakyat Malaysia yang membuang 270,000 tan makanan yang 'tidak diusik' dan boleh dimakan semula pada setiap bulan Ramadan.
Mengikut perkiraan, jumlah makanan itu adalah mencukupi untuk memberi makan kepada 180 juta orang, iaitu enam kali ganda populasi negara sebanyak 30 juta orang.
#bazir makanan #buka puasa #Nadzim Johan #Persatuan Pengguna Islam Malaysia #PPIM
;