Tarik balik pasaran telur, Selangor teliti arahan Singapura - Amirudin
Bernama
Mac 14, 2021 13:21 MYT
Mac 14, 2021 13:21 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti isu berhubung tindakan Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan sebuah syarikat tempatan di Jeram, Kuala Selangor, dekat sini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut perlu disemak terlebih dahulu, kerana ia melibatkan isu dagangan antara dua negara.
"Itu (tindakan Singapura tarik balik pasaran telur) kena tengok balik kerana ia melibatkan perdagangan antara dua negara. Saya akan semak balik," katanya selepas merasmikan Pasar Moden Sri Muda Shah Alam di Seksyen 25, dekat sini, hari ini yang turut dihadirikan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim.
Semalam, Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur dari pasaran yang dihasilkan di sebuah syarikat di Jeram, Kuala Selangor, sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk tersebut, yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika ia dimakan secara mentah atau separuh masak.
Terdahulu, Haris dalam ucapan aluannya berkata, Pasar Moden Sri Muda yang dibina pada Jun 2017, siap sepenuh Disember tahun lalu dengan menelan belanja RM28 juta.
Katanya, pasar moden ini merangkumi 219 unit lot penjaja setinggi enam tingkat dengan pelbagai jualan seperti pasar basah (halal) dan pasar basah (tidak halal), jualan sayuran, jualan buah-buahan, barangan runcit, barangan kering serta kiosk perniagaan.
"Selain itu, kemudahan seperti medan selera, tandas awam, ruang solat lelaki dan wanita, kemudahan orang kurang upaya (OKU), serta tiga tingkat tempat letak kenderaan turut disediakan," katanya.
-- BERNAMA
#Singapura tarik balik pasaran telur
#Kerajaan Negeri Selangor
#Singapura
#Amirudin Shari
#Jeram
#Kuala Selangor
#Salmonella Enteritidis
#Agensi Makanan Singapura
#SFA