Tarif elektrik naik 14 peratus tidak benar - PM

Hasimi Muhamad
Februari 3, 2025 16:06 MYT
Jelas Anwar, ketetapan tersebut perlu dibuat berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung akan meningkat 14 peratus pada Julai ini adalah tidak benar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kenaikan tarif elektrik dijangka dinaikkan pada separuh kedua tahun ini, dengan kadar bakal ditetapkan selepas semakan semula nanti.
Jelas Anwar, ketetapan tersebut perlu dibuat berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu.
"Mengenai isu Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), kadar pemindahan elektrik bukan 14 peratus. Tidak!
"Kajian semula setiap enam bulan adalah berdasarkan harga semasa. Justeru, saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang terlalu membebankan atau merugikan masyarakat.
"Namun, sudah pasti ia bukan seperti yang dikatakan. Ini sebabnya saya baru sahaja semak dengan Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) sekiranya saya tersilap fakta," katanya.
Anwar berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan bermula 1 Julai 2025 ini, tarif elektrik asas di Semenanjung Malaysia akan meningkat 14.2 peratus kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Pelarasan naik daripada kadar semasa 39.95 sen/kWj ini adalah hasil penelitian yang dicapai pada rangka kerja kawal selia sektor kuasa kelak.
#Anwar Ibrahim #tarif elektrik #Tahun Baharu Cina
;