Tarif elektrik: "Ini penyakit marah, bukan fakta ekonomi" - PM

Astro Awani
Februari 4, 2025 12:50 MYT
Anwar turut menegaskan, kerajaan sudah menegur Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik sebelum ini yang dibuat secara umum. - Gambar/ Japen
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan tarif elektrik yang akan dilaksanakan mulai Julai ini hanya melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi, tanpa memberi kesan kepada 85 peratus rakyat negara ini.

Ringkasan AI
  • Kenaikan Tarif Elektrik Terhad: Kenaikan tarif elektrik yang akan berlaku mulai Julai hanya melibatkan sektor industri dan golongan berpendapatan tinggi, tanpa kesan kepada 85% rakyat Malaysia.
  • Tujuan Kenaikan Tarif: Kenaikan tarif ini bertujuan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara dan menyokong perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan.
  • Pendekatan Kerajaan: Kerajaan menegaskan bahawa kenaikan tarif adalah berdasarkan kaedah ICPT dan telah menegur Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar pengumuman kenaikan tarif dibuat dengan lebih jelas.

Beliau berkata, kenaikan tarif itu adalah mengikut kaedah Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
"Ikut fakta dan data, ekonomi bukan wayang, ia berasaskan fakta. Fakta menunjukkan pelaburan kita meningkat jauh lebih baik berbanding (pentadbiran) Perdana Menteri sebelum ini.
"Faktanya, kadar pertumbuhan (ekonomi) juga meyakinkan, faktanya ringgit terus mengukuh walaupun berdepan keadaan geopolitik tidak menentu. Autanya lain," katanya.
Menurut Anwar, kenaikan tarif ini merupakan keperluan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara dan sumber pendapatan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan.
Beliau menjelaskan, kadar kenaikan yang dinyatakan beliau dalam satu majlis pada Isnin adalah maklum balas kepada ucapan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng, berhubung kenaikan tarif kepada industri.
"Kita perlu faham bahawa kenaikan tarif ini dikenakan ke atas sektor industri, bukan kepada negara, bukan kepada rakyat. (Dan) Saya kata, itupun bukan 14 peratus seperti yang diumumkan.
"Kenaikan tarif kepada industri dan golongan maha kaya, kita nak pertahan apa dia, kalau tak cukai kepada orang kaya, nak tambah peruntukan untuk sekolah dan hospital, dari mana wangnya? Jadi kita perlu terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah kepada industri dan golongan kaya.
"Dengar betul-betul. Ini dengar dengan sentimen marah. Ini penyakit marah, bukan penyakit fakta ekonomi," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa kerajaan 'flip flop' berhubung dasar kenaikan tarif elektrik sehingga mengelirukan banyak pihak.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, kerajaan sudah menegur Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik sebelum ini yang dibuat secara umum.
“Saya katakan kita patut cerakinkan, apa dia untuk kategori yang dinaikkan.
"Jadi saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai ini," jelasnya.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #tarif elektrik #Wan Ahmad Fayhsal
;