Tarif air Selangor, KL dan Putrajaya tidak naik - MB Selangor

Bernama
Ogos 5, 2018 15:34 MYT
Tarif air buat masa ini namun ia bergantung kepada kemampuan pentadbiran tersebut pada masa depan. - Gambar fail
Kerajaan Selangor memberi jaminan tarif air di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak akan dinaikkan buat masa ini namun ia bergantung kepada kemampuan pentadbiran tersebut pada masa depan.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ini kerana pihaknya perlu meneliti seluruh perkara dan aspek berkaitan terlebih dahulu memandangkan kos pengeluaran air bersih yang semakin meningkat.
"Sekarang ini tiada kenaikan (tarif air) dan kita akan teruskan program air percuma yang menelan belanja RM180 juta setahun walaupun ia telah banyak kali meningkat sejak mula diperkenalkan (pada Jun 2008) pada kadar kira-kira RM70 juta setahun.
"Namun begitu, kita bertindak mengikut kemampuan semasa kerajaan negeri dan buat masa ini, kita masih mampu (menanggung kos) walaupun kita wujudkan pelbagai program lain yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan lembu korban bagi Aidiladha peringkat negeri di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mendakwa pengguna air di tiga lokasi tersebut akan menanggung tarif yang tinggi susulan pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Sela-ngor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada harga RM2.55 bilion, Jumaat lepas.
#Amirudin Shari #Kuala Lumpur #Putrajaya #Selangor #tarif air
;