Tarif air di Negeri Sembilan kekal, menteri akan adakan perbincangan

Madiha Abdullah
Januari 5, 2020 13:30 MYT
Xavier menuang tanah simbolik perasmian Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi Melalui Penanaman Pokok di Kolam Tadahan Taman Bandar Botanic, hari ini. - fotoBERNAMA (2020)
Satu perbincangan semula akan diadakan antara kerajaan pusat dan Negeri Sembilan, susulan kenyatan kerajaan negeri itu yang mahu mengekalkan tarif air.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar berkata, satu mekanisma perlu dibentangkan kerajaan negeri jika mereka memilih untuk mengekalkan tarif sedia.
"Saya akan bincang dengan kerajaan Negeri Sembilan. Kalau mereka tidak mahu naikkan tarif, mereka perlu ada satu mekanisma lain untuk meyakinkan kementerian yang tidak akan ada masalah air dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Kita tahu negeri mana yang situasi airnya memang kritikal, dan kalau kita tak ambil apa-apa tindakan sekarang, lima tahun akan datang kita akan ada masalah air yang besar," katanya.
Dr Xavier juga menegaskan pihak kementerian memerlukan kerjasama dari semua negeri untuk menyelesaikan isu air dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Cabaran kita adalah untuk mendapatkan bajet yang cukup bagi meningkatkan taraf perkhidmatan bekalan air di negara kita. Infrastruktur adalah satu perkara yang perlu dititik beratkan.
"Jika ada pun kenaikan tarif air, kita akan pastikan kenaikan itu dalam kadar dua peratus daripada perbelanjaan pendapatan isi rumah," tambahnya lagi.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan, tarif air di negeri itu kekal pada kadar sama dan tiada sebarang kenaikan bagi tempoh lima tahun.
Xavier ditemui pada Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi Melalui Penanaman Pokok di kolam tadahan di Taman Botanik, Klang, pada Ahad.
Program itu merupakan salah satu usaha kementerian ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, selain mempromosikan pokok Merbau (Intsia palembanica), yang sebelum ini diumumkan sebagai pokok kebangsaan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sejumlah 140 pokok daripada 36 spesies yang dipamerkan semasa pameran 'Hutan Kita' bulan lalu, turut dibawa dan ditanam di sekitar kolam tersebut.
#air #kerajaan #Menteri Air Tanah dan Sumber Asli #Menteri Besar #Negeri Sembilan #tarif #Xavier Jayakumar
;