Tarian singa jadi jambatan budaya antara China, Malaysia
Bernama
November 16, 2024 07:40 MYT
November 16, 2024 07:40 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan erat antara rakyat China dan Malaysia dapat dilihat dalam pelbagai cara, mencerminkan nilai budaya dan tradisi yang dikongsi kedua-dua negara.
Ringkasan AI
- Tarian Singa Diterima Semua Kaum di Malaysia: Tarian singa, yang berasal dari China lebih 1,000 tahun lalu, kini menjadi aktiviti budaya yang diterima oleh masyarakat Malaysia berbilang kaum, termasuk Melayu, seperti Adzwin Puteri Faizal yang aktif dalam kumpulan tarian singa.
- Sokongan Keluarga dalam Memelihara Tradisi: Adzwin mendapat sokongan penuh daripada keluarganya, terutamanya bapanya, Faizal Salehudin, yang sebelum ini tidak dapat mengejar minatnya terhadap tarian singa kerana kekangan kewangan, tetapi kini anaknya menghidupkan semula minat tersebut.
- Usaha Bersama Malaysia-China untuk Melindungi Warisan Budaya: Dalam menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, kedua-dua negara berusaha untuk menjadikan tarian singa sebagai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO, sebagai simbol hubungan budaya yang kuat antara kedua negara.
Salah satu manifestasi itu ialah minat mendalam yang ditunjukkan oleh masyarakat Melayu Malaysia terhadap tradisi budaya dari China, khususnya tarian singa. Tradisi yang berasal lebih 1,000 tahun dahulu di China ini kini telah menarik ramai peminat di Malaysia moden, lapor Xinhua.
Antara mereka ialah Adzwin Puteri Faizal, seorang gadis Melayu kecil molek dari Rawang, Selangor, yang merupakan ahli kumpulan tarian singa di bawah Persatuan Tarian Singa Yong Jun yang terkenal di peringkat tempatan.
Dengan gerakan yang lincah dan bertenaga, Adzwin yang berusia 18 tahun memainkan peranan sebagai ekor singa, bergerak seiring dengan pasangannya dalam aksi klasik seperti melompat ke tiang, melakukan lompatan yang kemas dan mengimbangi pergerakan singa dengan cekap.
"Apabila guru saya membuat persembahan di sekolah buat kali pertama, saya terpegun. Mereka kelihatan sangat hebat. Selepas itu, saya betul-betul ingin sertai tarian singa," katanya kepada Xinhua dalam satu temu bual baru-baru ini.
Menjadi sebahagian daripada kumpulan itu selama lima tahun, Adzwin telah mengasah kemahirannya dan memperoleh pengalaman dalam seni ini bersama rakan sepasukannya, yang terdiri daripada rakyat Malaysia berbilang kaum berusia antara 10 hingga 18 tahun.
Tarian singa di Malaysia berkongsi akar umbinya dengan tarian singa China, khususnya gaya tarian singa selatan. Ia dibawa masuk oleh pendatang Cina dan bertapak di Malaysia.
Pada awalnya, tarian singa hanya dipersembahkan semasa perayaan dan upacara masyarakat Cina. Bagaimanapun, dengan percampuran pelbagai etnik dan budaya di Malaysia, ia semakin melangkaui sempadan kaum dan agama, menjadi aktiviti budaya yang diterima oleh semua lapisan masyarakat. Kepentingan budaya tarian ini kini diakui secara meluas.
Di sebalik penglibatan Adzwin dalam persatuan tarian singa, terdapat sokongan padu daripada keluarganya, terutamanya bapanya, Faizal Salehudin, yang meminati tarian singa semasa mudanya.
Tiga puluh tahun dahulu, ketika masih seorang pelajar, Faizal juga tertarik dengan tarian singa, tetapi kekangan kewangan serta jarak perjalanan yang jauh menghalangnya daripada mengejar minat itu.
"Ia adalah budaya. Kita mahu belajar tentang budaya kaum lain, seperti budaya orang Cina, India, atau Sikh, kerana daya tarikan budaya bersifat sejagat," kata Faizal.
Kini, anak perempuannya telah menghidupkan kembali kecintaan Faizal terhadap tarian singa. Sebagai pemandu e-hailing, Faizal memastikan Adzwin sampai ke tempat latihan setiap malam hujung minggu, menemani dan merakam kemajuannya menggunakan telefon pintar.
Guru tarian singa Adzwin, Chan Yong Zhen, mula mempelajari seni tarian singa pada usia 16 tahun dan sejak itu telah mengabdikan dirinya selama 17 tahun dalam tradisi budaya ini.
Persatuan Tarian Singa Yong Jun, yang diasaskan oleh bapanya, kini dipimpin dan dibangunkan oleh Chan. Beliau menganggap Adzwin sebagai satu daripada pelajarnya yang paling cemerlang, dan memuji dedikasi serta fokusnya terhadap tarian singa.
"Jangan pandang rendah kerana dia perempuan; dia sangat kuat dan mampu mengangkat pasangannya dengan mudah untuk menyempurnakan gerakan yang sukar," kata Chan.
"Dahulu, sukar bagi individu daripada kaum lain dan wanita untuk belajar tarian singa. Tetapi keadaan telah berubah. Keunikan dan keterbukaan tarian singa telah membolehkan kami membina keluarga di sini," katanya.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia. Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani pada Jun 2024, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam pencalonan multinasional bagi memasukkan tarian singa dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kedua-dua negara meraikan tarian singa sebagai simbol sejarah yang dikongsi bersama dan komited untuk melindungi warisan budaya ini secara bersama.
--BERNAMA-XINHUA