Tarekat dakwa Imam Mahdi muncul di hari Arafah sedang dijejaki

Amirrul Rabbani
Ogos 7, 2022 17:06 MYT
Idris berkata, kumpulan itu membuat dakwaan yang meragukan seperti mendakwa akan berlaku kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah lalu. - Gambar fail
BAGAN SERAI: Pihak Konsulat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi telah diarahkan untuk mengesan pengikut dan seorang pemimpin dikenali bergelar habib yang terlibat dengan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata tindakan itu dibuat selepas kumpulan itu membuat dakwaan yang meragukan seperti mendakwa akan berlaku kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lalu.
Bagaimanapun, katanya setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan lokasi sebenar kumpulan terbabit namun pemimpinnya disahkan masih berada di Arab Saudi.
“Saya telah menghubungi Konsulat Malaysia di sana untuk kita bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi bagi mengesan di mana mereka berada.
“Dan selepas itu, kita harapkan mereka yang terlibat akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama di sana ataupun dihantar pulang ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Perak Kali Ke-39 di Bukit Merah Laketown Resort di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Muhammad Faizul Mohamed Ismail serta Ketua Pemuda Gerakan Perak, Ong Kean Sing.
BACA: Dakwa Imam Mahdi muncul pada hari Arafah
Idris terdahulu diminta mengulas berhubung laporan media tentang penutupan selama enam bulan sebuah pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Seremban, Negeri Sembilan berkuat kuasa Rabu lalu.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dilaporkan berkata penutupan pusat itu dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan sama ada membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.
Media sebelum ini melaporkan pemimpin tarekat berkenaan dipercayai telah menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk mempercayai kemunculan Imam Mahdi akan berlaku pada hari Arafah lalu.
Selain itu, individu berkenaan juga dilaporkan melakukan amalan tiga kali sujud ketika solat dengan sujud yang terakhir adalah untuk mengucup sejadah.
Pada masa sama, Idris menasihatkan umat Islam di negara ini untuk berhati-hati dengan fahaman seperti itu dan merujuk kepada sumber yang tidak meragukan ketika mendalami ilmu agama.
“Kalau hendak mengaji agama, pastikan guru itu adalah guru yang ‘mursyid’ iaitu guru yang ada ilmu dan mengamalkan ilmu yang diajarkan.
“Selain itu, umat Islam dinasihatkan untuk menyelidik dahulu latar belakang guru berkenaan terutama dari segi latar belakang pengajiannya itu dari mana.
“Saya harap dalam kalangan masyarakat kita ada kesedaran dalam hal seperti ini supaya dapat mengelakkan diri daripada diperdaya dengan orang seperti ini,” jelasnya lagi.
#tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah #kemunculan Imam Mahdi #Hari Arafah #Arab Saudi
;