Tapir seberat 200kg diselamatkan di Kuala Krai
Bernama
Ogos 7, 2021 11:50 MYT
Ogos 7, 2021 11:50 MYT
KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memindahkan seekor tapir jantan seberat 200 kilogram ke Taman Negara Sungai Relau, Pahang, hari ini.
Pengarahnya Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata tapir itu dipindahkan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai haiwan itu yang ditemukan terperangkap di dalam lubang di kawasan kebun di Kesedar Baru Chenulang, di sini semalam.
"Sepasukan anggota Perhilitan Kuala Krai telah ke tempat kejadian dan mendapati seekor tapir jantan terjatuh ke dalam lubang di kawasan kebun getah milik seorang penduduk kampung terbabit.
"Berdasarkan siasatan, pekebun berkenaan didapati membuat lubang itu bagi tujuan perladangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ady Ermanty Haniff berkata pemantauan terhadap kesihatan luaran mendapati tapir itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata tapir itu diberikan makan dan minum sebelum operasi mengeluarkannya dari lubang itu dijalankan, yang diketuai Ketua Perhilitan Kuala Krai Azhan Ab Razak.
Katanya orang ramai disarankan supaya menghubungi Jabatan Perhilitan sekiranya terdapat hidupan liar yang perlu diselamatkan.
-- BERNAMA
#Jabatan Perhilitan
#Kuala Krai
#Ketua Perhilitan
#Tapir
#operasi
#lubang
#Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif
#Perhilitan Kelantan
#Taman Negara Sungai Relau
#terperangkap