Tapir jantan mati dirempuh kereta

Bernama
Oktober 1, 2024 16:39 MYT
Seekor tapir jantan mati selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Rokan Barat, Jempol malam Isnin. -Sinar Harian
SEREMBAN: Seekor tapir jantan dianggar seberat 200 kilogram mati selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Rokan Barat, Jempol, dekat sini, malam tadi.

Ringkasan AI
  • Seekor tapir jantan seberat 200 kilogram mati selepas dirempuh kereta Proton X50 di Jalan Bukit Rokan Barat, Jempol.
  • Kemalangan berlaku ketika pemandu berusia 19 tahun dalam perjalanan dari Melaka ke Pahang. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
  • Bangkai tapir diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara Gemas, Negeri Sembilan untuk dilupuskan. Kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata tapir dianggar berusia lima tahun itu dirempuh kereta jenis Proton X50 dipandu lelaki berusia 19 tahun, kira-kira 9.50 malam.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu dalam perjalanan dari Melaka ke Pahang dan ketika menuruni bukit, secara tiba-tiba tapir itu berada di tengah laluan menyebabkan dia tidak dapat mengelak dan terlanggar haiwan itu lalu terseret ke longkang.
"Akibat pelanggaran itu, kereta lelaki terbabit memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan Toyota Hilux menyebabkan keretanya terbabas dan jatuh ke longkang kiri jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Hoo berkata, kedua-dua pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan bangkai tapir itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara Gemas, Negeri Sembilan untuk dilupuskan.
Kes katanya disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
-- BERNAMA
#tapir jantan #Jalan Bukit Rokan Barat #Jabatan Perlindungan Haiwan Liar #Taman Negara Gemas
;