Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tapir terbabit dipercayai keluar dari kawasan hutan berhampiran secara tiba-tiba sebelum dilanggar.
Mangsa, Nor Faten Mazlan dari RKT Kesedar Renok yang menaiki kereta Proton Saga kemudian hilang kawalan kenderaanya sebelum terbabas di bahu jalan.
Dia hanya mengalami cedera ringan apabila akibat kejadian itu dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Tapir malang itu mati di tempat kejadian.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff, ketika kejadian mangsa dari arah Kuala Krai dalam perkalanan pulang ke rumahnya.
Namun mangsa dikejutkan dengan kehadiran tapir dewasa itu yang dipercayai ingin melintas jalan, hingga kereta dipandunya gagal mengelak kerana jarak dengan haiwan itu terlalu dekat.
Akibat rempuhan, kenderaan yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum dia keluar menyelamatkan diri.
Kenderaan itu turut alami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Ini merupakan kes pertama melibatkan kemalangan dengan haiwan liar itu pada tahun ini.
“Bangkai tapir itu telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” ujar Mohd Yussalmi.
Sementara itu Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima laporan kejadian itu daripada mangsa.
Tapir Malaya (Tapirus indicus) merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan dikategorikan sebagai terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
Populasi Tapir Malaya di Malaysia dianggarkan sekitar 1,100 hingga 1,500 ekor dan ia hanya boleh didapati di Semenanjung Malaysia.