Tapir betina mati dilanggar

Sinar Harian
November 16, 2021 11:31 MYT
Bangkai tapir ditemui di tebing terusan Ban Canal Parit 9, Jalan Ban Canal Sekinchan, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
SABAK BERNAM: Tapir betina dewasa ditemui mati di tebing terusan Ban Canal Parit 9 Jalan Ban Canal Sekinchan pada Jumaat lalu disyaki akibat dilanggar kenderaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati haiwan tersebut mengalami pendarahan dalaman akibat paru paru dan jantung pecah.
Menurutnya, pemerhatian awal mendapati bangkai dalam keadaan baik dan tiada kesan tembakan.
"Tapir tersebut berkemungkinan tersesat dari Hutan Simpan Sungai Karang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Choon Yung berkata, tapir seberat 340 kilogram (kg) itu ditemui mati oleh seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada jam 6 petang Jumaat lalu.
"Perhilitan yang tiba pada jam 6.30 petang mendapati tapir itu ditemui mati kira-kira 15 meter dari jalan raya," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#tapir mati dilanggar #bangkai #Perhilitan #pendarahan dalaman
;