Tapak tangan budak tertusuk batang besi panah

Noraniza Kamsani
Mac 11, 2018 14:08 MYT
Mangsa, Ayie Jery, ketika mendapat rawatan di Hospital Raub petang Ahad. - Foto ihsan Bomba
Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik mencemaskan apabila tapak tangannya tertusuk batang besi panah ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di sungai di sini, hari ini.
Kejadian jam 2.30 petang itu menyebabkan besi berkenaan menembusi tapak tangan mangsa, Ayie Jery, 10 tahun.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd Sani Harul berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.02 petang sebelum bergegas ke Hospital Raub.
"Sebaik tiba di hospital, pasukan bomba mendapati besi panah ikan sepanjang kira-kira 0.5 meter itu masih tertusuk pada tapak tangan kanak-kanak berkenaan.
"Bomba kemudian diminta memotong besi di tapak tangan mangsa bagi memudahkan pihak hospital merawatnya," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, pihak bomba kemudian memotong besi berkenaan menggunakan 'bolt cutter' dan operasi memotong besi berkenaan tamat pada jam 3.34 petang.
"Sejurus pihak bomba berjaya mengeluarkan batang besi panah ikan itu, pasukan perubatan kemudian memberikan rawatan lanjut kepada mangsa. Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil," tambahnya.
#batang besi #besi panah ikan #Kanak-kanak #Raub #tangkap ikan