Tapak pelupusan sampah terbakar di Pasir Gudang
Sinar Harian
Ogos 12, 2023 13:54 MYT
Ogos 12, 2023 13:54 MYT
JOHOR BAHRU: Tapak pelupusan sampah yang dianggarkan seluas 2.9 hektar di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini terbakar pada Jumaat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 1, Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 12.46 tengah hari.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan berkenaan, sembilan anggota bomba, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera utiliti dihantar ke lokasi.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan sumber air daripada pili bomba berhampiran.
"Kerja-kerja pemadaman ini turut dibantu 14 anggota Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG)," katanya.
Tambah Mohd Yusri, insiden kebakaran itu tidak melibatkan mangsa dan operasi ditamatkan pada 6.25 petang, Jumaat. - Sinar Harian