Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar lagi

Astro Awani
Mei 23, 2022 07:43 MYT
Tindakan awal anggota menjalankan pemadaman dan pengawalan dengan membuat 'Fire Break' menggunakan bantuan dari jengkaut. - Foto ihsan JBPM Pulau Pinang
NIBONG TEBAL: Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar lagi malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.34 malam.
Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal dan Sungai Bakap, bersama anggota, bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan tapak pelupusan sampah dengan anggaran keluasan kebakaran 200 x 200 kaki persegi.
"Tindakan awal anggota menjalankan pemadaman dan pengawalan dengan membuat 'Fire Break' menggunakan bantuan dari jengkaut, bagi mengelakkan kemerebakan yang lebih luas." menurut JBPM Pulau Pinang dalmm satu kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman turut dibantu balai bomba dan Pasukan Bomba Sukarela yang berdekatan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketika ini, kerja-kerja pengawalan dan pemadaman kebakaran masih dilakukan.
Pada 12 Januari lepas, kebakaran dilaporkan berlaku di tapak pelupusan sampah terbesar di negeri itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar.
Ekoran kejadian itu, 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari.
Kebakaran terbabit juga menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Usaha memadam kebakaran mengambil masa lebih tiga minggu sebelum ia padam sepenuhnya.
#Pulau Burung #tapak pelupusan sampah #terbakar
;