Tapak pelupusan di Kampung Ulu Chepor tiada lesen - JAS Perak

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 8, 2020 11:35 MYT
Rosli menunjukkan sampel tanah yang diambil dari tapak pelupusan sisa buangan di Kampung Ulu Chepor yang disahkan tiada lesen pada sidang media di Ipoh hari ini. - Astro AWANI
IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengesahkan tapak pelupusan sisa buangan yang ditemui di kawasan hutan di Kampung Ulu Chepor tidak dilesenkan sebagai tapak buangan sisa berjadual.
Berdasarkan rekod jabatan, kawasan seluas 0.5 hektar itu juga tidak mendapat sebarang kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, pihaknya menunggu laporan analisis Jabatan Kimia yang dijangka dalam masa sebulan untuk mengetahui kandungan sampel yang diambil dari kawasan tersebut.
"Apabila kita sudah sahkan buangan tersebut, kalau ia berbahaya atau buangan terjadual, atau bahan kimia berbahaya, maka dengan itu kita boleh gunakan kuasa di bawah akta sedia ada bagi mengarahkan pemilik tanah untuk melakukan pengorekan.
"Ia supaya kita boleh melihat sejauh mana penanaman bahan berwarna ini di tapak berkenaan, dan seterusnya kita mahu mengetahui daripada mana bahan tersebut diperolehi," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
BACA: Pesara guru gemar kumpul sampah bakal diberi kaunseling
BACA: SAM minta pihak berkuasa siasat bahan buangan di Ulu Chepor
Pada Rabu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa JAS Perak dan pihak berkuasa menyiasat bahan buangan dipercayai sisa industri secara kambus tanah di kawasan berhampiran sebuah resort di kampung tersebut.
Katanya, SAM menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti pelupusan di kawasan itu sejak setahun lalu dan telah membuat laporan kepada JAS negeri dan polis.
Rosli berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengenal pasti pemilik tanah di samping mendapatkan petunjuk-petunjuk baharu di tapak dan menemubual penduduk kampung.
Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
#tapak pelupusan sampah #tapak pembuangan sampah #lesen #Ipoh #Chepor #JAS Perak #alam sekitar #bahaya #bahan kimia #buangan #rosli zul #laporan analisis #Jabatan Kimia #sampel #pengorekan #hutan #Kampung Ulu Chepor #pemilik tanah #petunjuk baharu #EIA
;