'Tapak pasar baharu selesa juga' - Peniaga Pasir Puteh
Vivi Sumanti
Mac 14, 2018 11:20 MYT
Mac 14, 2018 11:20 MYT
Sebahagian daripada peniaga Pasar Besar Pasir Puteh kini mengakui selesa berniaga di tapak baharu, iaitu Pasar Baru Siti Hajar.
Lebih 200 peniaga dari Pasar Besar Pasir Puteh berpindah sejak akhir tahun lalu selepas arahan pengosongan pasar lama Pasir Puteh oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP).
Menurut wakil peniaga Pasar Baru Siti Hajar, Ahmad Nasaruddin Razak, 43 tahun, dakwaan bahawa pasar baharu terletak jauh dari pasar lama serta ruang niaga yang sempit, adalah tidak benar kerana peniaga yang berpindah kini menikmati kemudahan bangunan baharu yang lebih bersih serta lokasi yang strategik.
"Memang Pasar Baru Siti Hajar ini sempit sedikit berbanding lot di pasar lama, namun ukurannya 6x6 kaki persegi, bukan seperti dakwaan 3x5 kaki persegi. Sewa juga masih belum dikenakan lagi, MDPP bagi duduk dulu dan akan berunding selepas ini," katanya ketika ditemui di sini.
Ahmad Nasaruddin berkata, peniaga-peniaga yang masih enggan berpindah dan bertegas mempertahankan pasar lama harus memikirkan kembali tindakan mereka kerana keengganan mereka untuk berpindah akan merugikan mereka nanti.
Katanya, kesemua peniaga yang berpindah ke pasar baru adalah mereka yang ingin meneruskan perniagaan serta mengelakkan ketegangan dengan pihak berkuasa tempatan.
"Mereka yang tak nak pindah tu, sebenarnya mereka dipengaruhi. Lebih baik kita berniaga. Kalau bertegang dan degil, perniagaan kita juga akan rugi. Susah nak lawan dengan pihak berkuasa, lebih baik kita akur. Di sini pun selesa, ada lot parkir dan sebagainya," tambahnya lagi.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan lebih 300 peniaga pasar lama di tengah bandar Pasir Puteh bertindak menghalang kerja-kerja meroboh pasar berkenaan oleh MDPP dua hari lalu.
Akibat ketegangan dan campur tangan pihak polis untuk menenangkan situasi, operasi meroboh Pasar Besar Pasir Puteh terpaksa ditangguhkan, bahkan ada peniaga yang bertindak duduk di kawasan masuk pasar bagi menghalang jentolak memasuki kawasan.
Ada juga peniaga yang bertindak 'berkampung' di kawasan pasar lama itu sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, tapak pasar lama seluas lebih 2.7 hektar telah pun dijual kepada pihak pemaju untuk tujuan pembinaan.
Pihak Persatuan Peniaga Kecil Pasar Pasir Puteh turut mendapatkan perintah injuksi di mahkamah selepas permohonan untuk mengenepikan perintah meroboh pasar berkenaan ditolak mahkamah.
Keputusan rayuan mereka terhadap tindakan MDPP itu akan dapat diketahui 22 Mac ini.
MDPP sebelum ini memaklumkan notis pengosongan pasar dalam tempoh 14 hari telah dikeluarkan pada 15 Feb lalu.
Katanya, tempoh itu telah berakhir dua hari lalu dan peniaga sepatutnya mengosongkan pasar namun ada yang masih meneruskan perniagaan seperti biasa.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, mereka boleh melakukan operasi meroboh pada bila-bila masa, tanpa menunggu keputusan rayuan mahkamah kerana peniaga hanya menuntut sejumlah ganti rugi selepas mereka diarah berpindah ke pasar baharu.
Tambahnya, dalam rayuan mahkamah pada 1 Mac lalu, tidak ada perintah yang menghalang MDPP untuk meroboh pasar berkenaan.