Tapai pulut daun getah raih permintaan tinggi menjelang Syawal
Muhafandi Muhamad
April 29, 2022 07:40 MYT
April 29, 2022 07:40 MYT
GUA MUSANG: Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah masih menjadi makanan pencuci mulut disukai ramai dan mendapat permintaan tinggi ketika Hari Raya Aidilfitri.
Pengusaha tapai pulut tradisional, Azizah Seman, 65, dari Taman Damar, Gua Musang mengakui, hidangan tradisional itu mempunyai keunikan tersendiri walaupun hanya menggunakan bahan asas seperti beras pulut dan ragi.
Setiap tahun permintaan terhadap hidangan manis itu sentiasa meningkat dan Azizah perlu menyiapkan tempahan sebanyak 40,000 biji tapai pulut menjelang Aidilfitri ini.
Azizah yang telah membuat tapai pulut sejak 30 tahun lalu berkata, bagi mengekalkan keaslian rasa dia menggunakan daun getah serta kaedah tradisional yang dipelajari daripada neneknya.
Katanya, keaslian rasa tapai yang manis dan sedikit masam menjadi pembuka selera sebelum atau selepas menjamah hidangan lain.
"Harga sama. Kalau kita nak naik lagi kesian kat orang. Sebab kita makan juga dan modal tak banyak. Bekas tu payah, ini kita mudah bungkus. Daun lebih senang," katanya.
Tambah Azizah, dia terpaksa menyiapkan tapai dengan bantuan anak, menantu dan cucu untuk membuatnya setiap tahun.
Katanya, dia menjual tapai dengan harga RM35 sebekas bagi setiap 100 biji.