Tapai pulut daun getah laris menjelang Aidilfitri

Muhafandi Muhamad
Mei 10, 2021 07:27 MYT
Keaslian rasa tapai yang manis dan sedikit masam menjadi pembuka selera selepas menjamah hidangan lain. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah menjadi juadah disukai ramai dan mendapat permintaan tinggi menjelang satu Syawal.
Pengusaha muda tapai pulut tradisional di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan, Nurul Hidayu Abdul Rahman, 29, mengakui hidangan tradisional itu mempunyai keunikan tersendiri walaupun hanya menggunakan bahan asas beras pulut dan ragi.
Setiap tahun permintaan terhadap hidangan manis itu sentiasa meningkat selepas dia mempromosikan juadah itu di media sosial miliknya.
Sebagai contoh, sempena Hari Raya ini dia tidak menang tangan apabila perlu menyiapkan tempahan lebih 5,000 biji tapai pulut daun getah.
Nurul Hidayu yang terlibat dalam penjualan tapai pulut sejak lima tahun lalu berkata, bagi mengekalkan keaslian rasa dia menggunakan daun getah serta kaedah tradisional yang dipelajari daripada ibunya, Rokiah Senik, 60.
Dia yang bekerja sebagai Penolong Guru Tabika Perpaduan di Bandar Gua Musang menjadikan tapai pulut sebagai sumber pendapatan sampingan.
"Tapai ini boleh jadi sumber pendapatan kerana ia sangat mudah, tidak perlu duduk di luar.
"Hanya duduk di dalam rumah sahaja untuk kukus pulut dan bungkus. Sesuatu yang boleh dilakukan sambil bermain dengan anak.
"Sayang kalau kita tidak mahu ambil tahu tentang warisan generasi lama ini," katanya.
Sementara itu, ibunya, Rokiah Senik pula berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu satu-satunya mahir membuat tapai.
Katanya, penyediaan tapai pulut daun getah kini tidak serumit berbanding zaman dahulu apabila perlu mengikut pantang larang orang tua.
"Pada waktu dulu pelbagai pantang larang harus dipatuhi. Ketika ini, daun getah dan ragi boleh dibeli di kedai sahaja.
"Pada zaman dulu, kita sorok-sorok membeli ragi kerana mengikut kepercayaan orang dulu, kalau terselisih dengan orang, nanti tapai kita akan menjadi tawar atau masam," jelasnya.
Tambahnya, keaslian rasa tapai yang manis dan sedikit masam menjadi pembuka selera selepas menjamah hidangan lain.
#tapai #hari raya #Aidilfitri #syawal
;