"Tanpa Michael, saya akan mati", jenaka terakhir Karpal

Astro Awani
April 19, 2014 13:18 MYT
Sangeet Kaur Deo (kiri) bersama ibu Gurmit Kaur dan Sangeeta Kaur Deo (kanan)
Sehari sebelum kemalangan, mendiang Karpal Singh ada melawak bersama pekerja-pekerja di pejabatnya dan mengatakan “Tanpa Michael saya akan mati”.
Lalu Michael menjawab, “Tanpa boss (Karpal), saya juga akan mati”.
Perkara tersebut diceritakan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada Sabtu.
Pada masa sama, Sangeet menyifatkan Michael merupakan pekerja yang sangat dedikasi, rajin serta amanah dalam menjalankan tugas beliau.
Menurut Sangeet, Michael telah berkhidmat dengan mendiang ayahnya hampir 9 tahun.
Selain Sangget, anak-anak mendiang yang lain, Ramkarpal Singh dan Man Karpal turut hadir ke Jabatan Forensik HRPB pada Sabtu bagi menguruskan mayat mendiang, Michael Cornelius Jayakrishnan untuk dihantar pulang ke Vellore, India.
Sangeet jelas tidak dapat menahan sebak tatkala mayat mendiang Michael diusung masuk ke dalam van mayat.
Bagi Sangeet, beliau tidak dapat membalas jasa baik Michael yang selama ini banyak berbakti kepada keluarga terutamanya kepada mendiang Karpal.
Mayat mendiang akan menaiki kargo pesawat MH180 yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10 malam Sabtu menuju ke Vellore, India.
#Karpal Singh #Michael Cornelius Jayakrishnan #Sangeet Kaur Deo
;