Tanpa akademik, kemahiran insaniah tidak dapat dikuasai - Freida Pilus

Astro Awani
Disember 24, 2018 08:27 MYT
Datuk Freida Pilus ketika mengambil bahagian dalam program Debat AWANI yang berlangsung pada Ahad. Astro AWANI
Penguasaan akademik merupakan tiang seri. Tanpa kemahiran akademik, kita tidak akan dapat menguasai kemahiran insaniah.
Demikian pendirian pengasas dan Mentor Kumpulan Sekolah-sekolah Cempaka, Datuk Freida Pilus ketika mengambil bahagian dalam program Debat AWANI yang berlangsung pada Ahad.
Menurut Freida, anak-anak di sekolah boleh menjadi lebih gembira apabila mereka mencapai kejayaan setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
"Kalau kita pergi ke sekolah, apa yang membuatkan kita bahagia? Pada saya dan anak-anak di sekolah saya, mereka seronok dan mendapat kebahagian apabila mereka dapat membuat sesuatu dengan baik."
Selain Freida, turut dijemput sebagai pembahas satu lawan satu bagi membincangkan tajuk 'Kemahiran Insaniah Perlu Melebihi Pengetahuan Akademik' itu ialah Timbalan Pengerusi Yayasan Patriot Negara Malaysia Datuk Nadzim Johan.
Antara lain, Nadzim khuatir dengan pelaksanaan cadangan Kementerian Pendidikan yang menghapuskan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di kalangan murid-murid Tahun 1, 2 dan 3 mulai 2019.
"Saya takut kita tidak mampu, tidak tahu persiapan itu sudah cukup atau belum untuk kita membawa kaedah baharu," katanya.
Ujar beliau, perubahan kaedah itu memerlukan sokongan daripada ibu bapa yang selama ini hanya mementingkan pencapaian peperiksaan anak mereka.
Mei lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bertekad menambahbaik sistem pendidikan sedia ada yang dilihat cenderung berorientasikan peperiksaan.
BACA: Mulai 2019, tiada lagi peperiksaan pertengahan tahun, akhir tahun - KP Pendidikan
BACA: Pentaksiran murid Tahun 1, 2, 3 tumpu perkembangan pelajaran
Pada Oktober, beliau mengumumkan langkah pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap 1 bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih membantu perkembangan murid.
Katanya, peperiksaan itu bakal diganti dengan pentaksiran yang lebih objektif bermula 2019.
#akademik #Cempaka Group of Schools #Datuk Freida Pilus #Datuk Nadzim Johan #Debat AWANI #insaniah #kemahiran #Kementerian Pendidikan #Maszlee Malik #Menteri Pendidikan #soft skills #Yayasan Patriot Negara Malaysia
;