Tanjung Piai Memilih: Warga emas berusia 100 tahun masih bersemangat keluar mengundi
Firdaus Azil
November 16, 2019 13:11 MYT
November 16, 2019 13:11 MYT
Setiap kali berlangsungnya hari pengundian bagi pilihan raya kecil, akan ada pengundi dengan gelagat tersendiri, yang sudah pasti menarik perhatian media yang membuat liputan.
Bagi Jenab Jaman, walaupun sudah berusia 100 tahun, namun itu sekadar angka kerana warga emas itu masih bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurut suaminya Salleh Dahlan, 88, ini merupakan kali ke-15 Jenab mengundi, termasuk 14 kali pilihan raya umum sejak 1955.
“Pukul 5 pagi dia dah bangun suruh mandikan dan pakaikan baju. Saya pun mandikan dia dengan air suam, pakaikan baju dan bedakkan dia.
“Saya masih tengah tidur dia dah kejut beritahu saya nanti ada kereta ambil mereka berdua untuk pergi mengundi di Sekolah Kebangsaan Rambah,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di rumah mereka, hari ini.
Salleh berkata, sebetulnya, isterinya lahir pada tahun 1919, bagaimanapun, rekod kelahiran yang didaftar pada kad pengelannya ialah 1927.
Kata Salleh lagi, jenab juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang kronik, tetapi hanya mengalami masalah penglihatan serta memerlukan bantuan ketika berjalan.
Sementara itu, bagi sekumpulan adik-beradik, pilihan raya ibarat hari raya untuk mereka apabila bersepakat mengenakan baju melayu Teluk Belanga lengkap bersampin.
Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang bertanjak sebelum pergi mengundi.
Anak ketiga, Hairul Hapizi Samaon berkata, dia dan adik beradik yang lain termasuk Fatimah (54), Mohd Suhaidi (51), Irudin (50), Noor Zuraidah (40), Hairul Hisham 37, dan Hairul Azhar (35) sepakat ingin mencari kelainan.
Mereka turut membawa ibu mereka, Turiah Saeri, 76, pergi mengundi di Sekolah Kebangsaan Sri Bunian.
“Sempena dengan pilihan raya ini, kami berpeluang berkumpul adik-beradik kerana sewaktu raya hari tempoh hari kami sibuk dengan urusan masing-masing, keluarga masing-masing, dan tak dapat berkumpul
“Kali ini kami kumpul kami meraikan bersama mak kami (yang) tinggal seorang, nak beri semangat, beri semangat untuk merangsangkan kesihatan mak. Kami keseluruhan ada tujuh adik-beradik, tetapi dua lagi dah mengundi awal dan ada yang undi tempat lain,” jelasnya lagi.