Tanjung Piai Memilih: Kaum Cina tak mudah kena tipu - PM

Firdaus Azil
November 14, 2019 11:40 MYT
Dr Mahathir berkata, ada masanya keperluan spesifik sesuatu kaum itu harus dinilai semula demi memberi ruang kepada perkara yang lebih penting, seperti kepentingan nasional. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin penyebaran poster calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini dengan perkataan ‘Buy Muslim First’ tidak akan mempengaruhi pengundi di Tanjung Piai.
Katanya, ia tidak akan membuatkan masyarakat Cina tertipu dan seterusnya menjejaskan sentimen kaum itu pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai 16 November ini.
Menurutnya, kaum Cina di negara ini sudah melalui 14 pilihan raya umum, serta beberapa PRK, oleh itu, beliau yakin mereka tidak akan mudah terperdaya dengan taktik mengelirukan itu.
“Saya tak ingat orang Cina begitu bodoh, boleh ditipu oleh penyangak-penyangak ini. Orang Cina lebih arif dalam bidang pilihan raya.
"Dan saya tak percaya mereka akan undi Barisan Nasional (BN) semata mata kerana gambar yang ditunjuk poster itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Pontian, di sini, pagi ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran poster Karmaine dengan ‘Buy Muslim First’ yang dikesan di Ceramah Mega anjuran PH di Terminal Bas Kukup, malam tadi.
Beliau ditanya sama ada rakyat dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai akan terpedaya dengan penipuan pihak pembangkang dan memilih calon BN.
Karmaine menghadapi cabaran daripada calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz dan dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau sedar ada isu nasional yang menjadi pertimbangan masyarakat Cina di Parlimen ini.
Ia termasuk soal pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) seperti yang termaktub dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan serta pemberhentian dana kerajaan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).
Namun, jelasnya, ada masanya keperluan spesifik sesuatu kaum itu harus dinilai semula demi memberi ruang kepada perkara yang lebih penting, seperti kepentingan nasional.
“Walaupun ada isu orang Cina, ada isu orang Melayu, ada isu orang India, tetapi apabila kita tumpu kepada keperluan negara kita, kita ketepikan perkara-perkara itu.
"Kita (kena) cari jalan untuk selesaikan pertikaian itu kerana kita tahu di Malaysia ini kita tak boleh layan semua orang.
“Tidak ada kemungkinan kita layan permintaan semua kaum, kerana saya biasa berkata, apabila kita dapati semua kaum tak puas hati, bermakna kita layan rakyat dengan baik,” katanya lagi.
#Barisan Nasional #BMF #Buy Muslim First #calon #Cina #ditipu #Karmaine Sardini #kaum #kepentingan nasional #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pengundi #penyangak #pilihan raya kecil #PRK Tanjung Piai #Tanjung Piai Memilih #terperdaya
;