Tanjak, busana tradisi Melayu antara tarikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan 2024
Bernama
Julai 21, 2024 17:30 MYT
Julai 21, 2024 17:30 MYT
CYBERJAYA: Reruai yang menampilkan promosi dan jualan tanjak serta busana tradisional adalah antara yang mendapat perhatian ramai pengunjung Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang 2024 di Cyber Event Hall, di sini hari ini.
Pengusaha Karya Jemari Kayangan Muhamad Ali Yusof berkata beliau amat bersyukur dengan sambutan positif diterima daripada pengunjung yang datang tidak putus-putus di khemah jualannya melalui Komuniti MADANIxNADI, malah pelbagai kaum turut menunjukkan minat untuk mengetahui serba sedikit tentang tanjak warisan Melayu hasil tangannya.
"Tujuan saya mempromosikan dan menjual produk ini juga adalah supaya lebih ramai tahu dan faham mengenai tanjak warisan Melayu ini, seperti berhubung reka bentuk dan pangkat pemakai bagi setiap jenis tanjak.
"Alhamdulillah ramai yang hadir untuk membeli, di samping bertanya mengenai jenis-jenis tanjak yang dijual di reruai jualan ini," kata lelaki berusia 50 tahun itu ketika ditemui Bernama di reruai negeri Terengganu.
Memulakan kerjaya sebagai usahawan produk warisan Melayu sejak 2014, usahawan Kampung Budaya Terengganu ini juga berkata ada 15 jenis tanjak dijualnya dengan harga setiap satu RM100, sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang 2024.
"Untuk hari ini, istimewanya saya bawakan khas beberapa tanjak reka bentuk klasik yang dahulunya dipakai kerabat diraja dan orang besar istana pada zaman dahulu, antaranya Tanjak Belalai Gajah yang dipakai Sultan Terengganu, Tanjak Anak Belalai Gajah yang dipakai Tengku Mahkota Terengganu dan Tanjak Bendahara yang dipakai Bendahara Terengganu.
"Selain itu, kita bawakan juga Tanjak Perang yang biasanya dipakai oleh orang yang hendak pergi berperang. Tanjak ini jika dipakai bermakna pemakainya berniat untuk berperang dan tidak mahu balik atau syahid ataupun sehingga mencapai kemenangan," katanya.
Selain tanjak, Muhamad Ali berkata busana tradisional turut dibawa untuk diperkenalkan kepada pengunjung selain untuk jualan.
"Baju layang songket bunga tabur dijual pada harga RM200 berbanding harga biasa RM250. Baju layang songket bunga tabur jalur kita jual pada harga RM220 berbanding harga biasa RM280 dan kalau beli satu set lengkap busana bersekali bengkung dan tanjak hanya RM360," katanya.
-- BERNAMA