Tangki skid terbiar punca kebocoran gas di Terminal Kargo KLIA

Bernama
Julai 4, 2024 23:13 MYT
Azman berkata pekerja Malaysia Airlines yang beroperasi 24 jam akan kembali bertugas malam ini bagi memastikan tiada jadual penerbangan tergendala. - Gambar Bernama
SEPANG: Kebocoran satu daripada injap tangki skid yang terbiar sembilan tahun menjadi punca kepada insiden kebocoran gas di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari'at berkata bahan kimia yang bocor dikenal pasti sebagai methyl mercaptan (bahan berbau tengik) yang dicampur pada gas memasak.
Beliau berkata bahan tersebut tidak membawa maut tetapi mendatangkan kesan seperti loya, pening dan muntah bagi individu yang kurang ketahanan badan.
Menurutnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah membuat pemeriksaan di Malaysia Airlines Engineering dan Akademi seterusnya mengesahkan kandungan gas telah tiada dan kawasan itu selamat digunakan.
"Tiada kecederaan atau kemalangan serius dan setakat 6 petang ini kita mengesahkan KLIA selamat daripada apa-apa bencana. Kita nasihat orang ramai agar tidak gusar," katanya kepada media di lokasi kejadian di sini hari ini.
Azman berkata Gas Malaysia telah bertindak menutup punca gas tersebut dan melakukan tampalan agar gas tidak terkeluar daripada tangki itu sekali gus mengelakkan bau berlegar memandangkan tiupan angin boleh menyebabkan bau tersebut merebak hingga dua kilometer.
"Operasi masih berjalan untuk pastikan Gas Malaysia membuat tampalan dengan baik demi keselamatan awam," katanya menambah hampir 1,000 orang diarahkan mengosongkan kawasan terminal kargo susulan kejadian kebocoran itu kebanyakannya pekerja Malaysia Airlines Engineering dan Akademi.
Beliau berkata pekerja Malaysia Airlines yang beroperasi 24 jam akan kembali bertugas malam ini bagi memastikan tiada jadual penerbangan tergendala.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata tahap bacaan gas di lokasi tangki skid yang bocor adalah 600 bahagian per juta (ppm), manakala kawasan sekitar bacaan adalah normal iaitu bawah 150ppm.
"Selepas kerja penampalan yang sedang dilakukan, tangki skid itu akan dialihkan sebelum dibawa ke tempat pelupusan," katanya.
Terdahulu, dilaporkan Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kebocoran bahan kimia di lokasi berkenaan pada 11.23 pagi.
Susulan kejadian itu, 39 mangsa telah mendapatkan rawatan kebanyakan dirawat di tempat kejadian, manakala 14 orang dibawa ke Unit Kecemasan Udara, KLIA dan seorang mangsa dirawat di Hospital Putrajaya.
-- BERNAMA
#tangki skid #KLIA #JBPM #tempat pelupusan
;