Tangki septik tidak dikosongkan punca sumber air tercemar

Haikal Raman
Disember 21, 2020 10:24 MYT
Narendran berkata hanya kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tangki septik individu di negara ini menjalani pengosongan secara berjadual. -Gambar fail
KEBANYAKAN pemilik sistem pembetungan jenis tangki septik individu menganggap ia sebuah sistem yang memerangkap air sisa daripada rumah dan tak perlu menghiraukan tentang penjagaan atau kepentingan pengosongannya.
Sistem pembetungan jenis tangki septik individu sebenarnya merupakan sebuah tangki mendapan yang mana air sisa daripada aktiviti di rumah seperti air mandi, basuhan baju, tandas dan cucian pinggan mangkuk akan dialirkan masuk ke dalam tangki tersebut.
Untuk mengetahui sama ada anda menggunakan tangki septik individu atau tidak, kebiasaannya akan ada empat penutup logam segi empat tepat di atas tangki dan kedudukannya sama ada di hadapan, tepi atau di belakang rumah.
Sekiranya tiada empat penutup logam, bermakna rumah anda berkemungkinan besar menggunakan sistem pembetungan jenis bersambung terus ke loji rawatan kumbahan berpusat.
Ramai yang tidak menyedari bahawa tangki septik individu mempunyai tahap keupayaan terhad dalam memberikan rawatan awal atau separa rawatan bagi kemasukan air sisa pembetungan dari rumah kita setiap hari.
Secara amnya, setiap tangki septik individu memerlukan penyelenggaraan daripada pemiliknya dalam bentuk pengosongan enap cemar untuk tempoh sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun atau mungkin lebih kerap lagi.
Ini bermakna sekiranya penghuni atau pemilik tangki ini tidak pernah mengosongkan tangki septik melebihi lima atau 10 tahun, maka tangki septik ini sudah pasti tidak berfungsi dengan baik lagi.
Perkara tersebut akan menyebabkan air sisa kumbahan dari rumah yang mengalir masuk ke dalam tangki septik individu ini hanya melepasi tangki tersebut tanpa sebarang rawatan dan seterusnya akan keluar memasuki longkang, sungai atau perairan.
Apabila ini berlaku, ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa pemilik tangki septik berkenaan turut menjadi penyumbang kepada pencemaran sumber air.
Terdapat kira-kira 1.35 juta tangki septik individu di seluruh negara dan sebahagian besar tangki-tangki septik individu ini mungkin telah berusia lebih dari 40 tahun, tanpa diberikan perhatian oleh pemilik rumah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Narendran Maniam berkata hanya kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tangki septik individu di negara ini menjalani pengosongan secara berjadual.
“Kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan tangki septik ini tidak melakukan pengosongan secara berjadual setiap tahun.
"Beban pencemaran yang dilepaskan oleh 1.2 juta tangki septik yang tidak melakukan kerja-kerja nyahenap cemar ini memberi kesan yang amat buruk kepada sungai-sungai kita,” katanya.
Menurut beliau, bebanan pencemaran air sisa kumbahan akibat tiada pengosongan berjadual untuk tangki septik individu ini akan bercampur pula dengan air sisa pencemaran daripada sumber-sumber lain seperti industri, perladangan, ternakan, pertanian, komuniti setinggan, penerokaan haram dan sebagainya.
“Ini akan menjadikan sungai dan perairan sebagai terusan kumbahan terbuka (open sewers) dan pasti amat merisaukan apabila sungai terbabit merupakan sumber tadahan untuk air minum, sekali gus turut memusnahkan segala hidupan di dalamnya,” ujarnya.
Tanpa kita sedari tindakan untuk membiarkan tangki septik tanpa menjalani pengosongan berjadual adalah sama seperti kita membiarkan pencemaran sumber air itu bermula daripada rumah kita sendiri.
Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Seksyen 65) jelas menyatakan penghuni atau pemilik tangki septik individu hendaklah menyelenggara dan menjaga sistem masing-masing dan kegagalan melakukan penyelenggaraan atau nyahenap cemar boleh didenda.
Sehubungan itu, pemilik atau pengguna tangki septik individu hendaklah memain peranan masing-masing sebagai masyarakat yang bertanggungjawab khususnya dalam menjaga alam sekitar dan sumber air.
Jangan bertangguh lagi dalam mengosongkan tangki septik anda dan adalah lebih baik sekiranya dapat membuat pengosongan tangki septik secara berjadual demi menjaga alam sekitar kita.
Hubungi IWK segera bagi mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu secara berjadual.
Untuk keterangan lanjut, layari iwk.com.my.
#IWK #IndahWaterKonsortium #SisaKumbahan #enapcemar #TangkiSeptik #pencemaran #AirSisa #SistemPembentungan #Malaysia #alamsekitar
;