Tangki minyak terbakar: Seorang cedera, usaha pemadaman masih berjalan

Astro Awani
Julai 6, 2018 11:28 MYT
Tangki minyak mentah milik KBC terbakar di kawasan Perindustrian Teluk Kalong pada petang Khamis, 5 Julai, 2018. --fotoBERNAMA
Usaha pemadaman tiga buah tangki simpanan dengan lebih 20,000 liter padu minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) masih giat dilaksanakan pagi ini.
Kebakaran yang berlaku di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman itu bermula jam 6.15 petang Khamis, mengakibatkan sebahagian besar kawasan kilang diliputi asap hitam.
Sehingga jam 11 pagi ini, kerja-kerja pemadaman masih dijalankan anggota jabatan bomba dan penyelamat.
Kebakaran yang direkodkan paling besar berlaku di Terengganu setakat ini turut mencederakan seorang mangsa.
Sinar Harian melaporkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, mangsa yang cedera merupakan pekerja syarikat kontraktor, Rosli Muhamad, 42, tahun.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakannya dipercayai sedang melakukan kerja-kerja kimpalan dan di tangki minyak mentah berkenaan
Kebakaran turut mengakibatkan letupan kuat sekitar kawasan kejadian.
"Akibat kejadian itu mangsa yang melecur muka dan tangan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya.
Azlimin berkata beberapa letupan kuat turut berlaku, dengan gegarannya dapat dirasai di kawasan sekitar.
Menurutnya, tangki pertama berkapasiti 4,800 meter padu terbakar dan merebak ke tangki kedua yang berkapasiti 1,582 meter padu dan tangki ketiga dengan kapasiti 13,679 meter padu.
Katanya, dua daripada tangki berkenaan terbakar 100% dan usaha memadamkan kebakaran di tangki ketiga dijalankan di bahagian bumbung.
Azlimin berkata, pihaknya menggunakan 8,000 liter buih yang dibekalkan KBC manakala 6,000 liter buih disediakan JBPM Terengganu.
Sementara itu, sumber air diperoleh dari Syarikat Air Terengganu (SATU) selain sumber air dari Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB).
Menurutnya, operasi pemadaman kebakaran melibatkan 78 pegawai dan anggota JBPM Terengganu dari 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan bantuan 33 anggota JBPM Pahang dari empat BBP.
Tambahnya, pihaknya turut dibantu seramai 16 anggota pasukan khas Emergency Response Team (ERT) dari KBC dan 25 anggota dari KSB dan tujuh agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
#Azlimin Mat Noor #bomba #cedera #JBPM #kebakaran #Kemaman #letupan #mangsa #minyak
;