#TangkapMO1: 'Pembangkang jadikan mahasiswa keldai politik' - Armand

Wan Syamsul Amly
Ogos 28, 2016 21:06 MYT
ARMAND: #TangkapMO1: 'Pembangkang jadikan mahasiswa keldai politik' - Gambar hiasan
Pembangkang menjadikan mahasiswa keldai politik apabila menghasut golongan itu untuk menyertai himpunan Protes 'Tangkap Malaysian Official 1' (#TangkapMO1) di sekitar ibu negara pada Sabtu.
Pengerusi Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, pembangkang juga menjadikan mahasiswa benteng melindungi kesalahan mereka membuat huru-hara di tengah bandaraya.
"Saya menghormati idealisma orang muda tetapi harus berprinsip serta berfakta.
Orang muda harus matang dan bijak dalam perjuangan hala tuju negara ke arah mencapai negara maju tidak lama lagi.
"Tetapi berdasarkan himpunan yang sepatutnya himpunan mahasiswa akhirnya sekali lagi menjadi pentas politik pembangkang untuk meraih sokongan. Sekali lagi pemimpin pembangkang mengunakan gerakan mahasiswa sebagai keldai politik mereka.
"Sepatutnya ucapan-ucapan harus daripada mahasiswa, tetapi akhirnya mahasiswa sekadar tukang sorak, tukang pegang pembesar suara, tukang pemegang mikrofon dan tukang pegang sepanduk buat pembangkang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Pada Sabtu, perhimpunan yang dianjurkan kumpulan aktivis Gerakan Anak Muda ini diadakan di sekitar ibu negara termasuk di hadapan pusat beli belah Sogo dan Masjid Negara.
Peserta kemudian mula berarak ke Dataran Merdeka sambil membawa plakad tanda protes.
Dalam pada itu tegas Armand, kebanyakan ucapan juga diberi oleh pemimpin pembangkang sekali gus lari dari hasrat mahasiswa sendiri untuk berhimpun.
"Boleh dinilai ucapan yang diketuai oleh Hishamuddin Rais, terut dikuti siri ucapan pemimpin pakar mengkeldaikan mahasiswa seperti Khalid Samad, Nik Nazmi, Rozan, Marina Chin, Tian Chua dan beberapa lagi.
"Mereka inilah penghasut yang selalu memusnahkan masa hadapan anak muda yang terpedaya dengan mereka. Berapa ramai anak muda yang dibuang dari universiti kerana kerakusan politik penghasut anak muda ini," jelasnya.
Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda mendesak identiti 'MO1', yang dinyatakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.
Dalam pada itu Armand, menasihati anak-anak muda untuk sentiasa berfikir secara matang dan profesional bagi menilai mana yang baik atau sebaliknya untuk mereka.
"Anak-anak muda bakal pewaris kepimpinan negara. Kita bantu bina negara ke arah negara maju bukan menghancurkan masa hadapan negara kerana kepentingan penghasut politik yang sering mengkeldaikan anak muda," katanya.
##TangkapMO #Armand #pembangkang #Pemuda UMNO
;