Tangkapan LTTE: Jangan cabar polis, kita akan ambil tindakan jika cukup bukti - Ayob Khan

Fareez Azman
Oktober 10, 2019 19:37 MYT
Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka mengambil langkah yang sama bagi mengekang gerakan kumpulan LTTE daripada berkembang. - Foto PDRM
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan semua pihak agar tidak terlibat dalam aktiviti membabitkan kumpulan pemberontak Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ujarnya, tindakan sesetengah pihak yang menganjurkan majlis berkaitan kumpulan itu secara terbuka seolah-olah mencabar pihak polis.
"Dianjurkan secara terbuka, tuan-tuan boleh tengok yang ditayangkan seperti mencabar pihak polis, polis konsisten. Daripada mana mereka terlibat dalam keganasan pasti kita tangkap, hanya masa menentukannya," katanya.
Tambah Ayob lagi, kumpulan berkenaan telah dilabel sebagai pengganas oleh negara ini sejak 2014 lagi.
Malah beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka mengambil langkah yang sama bagi mengekang gerakan kumpulan LTTE daripada berkembang.
"Kalau kita ada bukti yang cukup kita akan ambil tindakan. Aktiviti ini dah lama sejak beberapa tahun lepas, tetapi kita mula lakukan siasatan terperinci Februari tahun lepas. Kita akan terus memantau dan akan ambil tindakan susulan," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis.
Malah bagi orang awam yang menyertai majlis berkaitan kumpulan itu juga akan diambil tindakan.
"Sekarang ini bukan amaran, tindakan sudah ambil. Jangan beri satu alasan LTTE ini dilabel sebagai pengganas sejak 2014. Kalau Daesh (berjumlah) 500 lebih orang pun kita tangkap, tidak akan kita biarkan kumpulan ini berkembang, kita tidak akan tolak ansur," katanya lagi.
#Amerika Syarikat #ayob khan mydin pitchay #Bahagian Anti Pengganas #Bukit Aman #cabar #Daesh #E8 #India #keganasan #LTTE #Media #pengganas #siasatan #Sri Lanka #tangkapan #tindakan
;