Tangkapan Jho Low: Jangan beri harapan palsu lagi - Kadir Jasin
Sinar Harian
Jun 2, 2019 17:21 MYT
Jun 2, 2019 17:21 MYT
Ramai rakyat Malaysia mahu ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dihadapkan ke muka pengadilan namun janganlah disebarkan khabar angin dan harapan palsu mengatakan kononnya lelaki itu telah ditangkap.
Wartawan veteran, A Kadir Jasin menasihatkan rakyat Malaysia tidak mensensasikan berita palsu yang tersebar semalam mendakwa Jho Low telah ditangkap dan mungkin akan dibawa balik ke Malaysia.
Menurutnya, kadangkala penyebaran maklumat tidak sah dan berita palsu boleh menggagalkan operasi sulit seperti mengesan, menangkap dan membawa balik pelarian undang-undang itu.
“Malangnya, perbuatan menularkan khabar angin dan cakap-cakap kedai kopi sebagai berita, maklumat sahih di media arus perdana dan media sosial sudah menjadi semacam satu penyakit.
“Hatta orang yang berkedudukan tinggi pun banyak yang terikut-ikut dengan tabiat buruk dan berbahaya ini.
“Saya bimbang bahawa akibat penggunaan media sosial yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat kita menjadi semakin ‘gossipy’ atau dalam bahasa Melayu popular ‘membawang’,” tulis beliau dalam blognya hari ini.
Semalam, tular satu mesej mengatakan Jhow Low ditahan oleh pasukan keselamatan China dan akan dibawa ke Malaysia oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Begitupun, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan dakwaan tersebut.
Beliau berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berusaha mengesan Jho Low yang dikehendaki untuk beberapa siasatan termasuk 1MDB.
"Kami sedang berusaha ke arah itu (menahan Jho Low) tetapi masih belum selesai. Jadi mesej itu tidak benar," katanya semalam.
Sementara itu, melabel Jho Low sebagai individu yang ‘otaknya geliga tapi jahat dan berbahaya’, Kadir berpendapat orang yang tidak mahu Jho Low ditangkap ialah mereka yang bersekongkol dengannya dalam kes 1MDB.
Menurutnya, ia termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Beberapa minggu lalu, seorang rakan wartawan warganegara Amerika bertanya sama ada kerajaan Malaysia tahu di mana Jho Low berada dan sama ada benar dia dilindungi oleh kerajaan China.
“Saya kata, apa saja boleh berlaku kerana Jho Low masih banyak duit dan sudah jadi ‘pawn in the game’ bagi banyak negara.
“Silap-silap dia tidak lagi budak gempal seperti yang kita kenali sebaliknya mungkin sudah menjalani pembedahan plastik dan sekarang serupa dengan hero Hollywood Leonardo DeCaprio,” katanya.
Pada 27 Jun tahun lalu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata, jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas berkaitan kes 1MDB bernilai RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Jho Low menjadi buruan selepas skandal kewangan itu terbongkar, menyebabkannya melarikan diri, tidak pulang ke Malaysia dan hanya mengeluarkan kenyataan menerusi peguamnya.