‘Tangkap zaman Mahathir, dakwa zaman Muhyiddin, penjara zaman Ismail Sabri, akhirnya Anwar juga salah’ - PM
Firdaus Azil
Januari 11, 2025 17:22 MYT
Januari 11, 2025 17:22 MYT
Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang seolah-olah menyalahkan beliau berhubung isu Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, rakyat tak akan lupa bahawa penangkapan bekas Perdana Menteri itu dilakukan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara, kemudian pendakwaan era Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Anwar berkata beliau hairan mengapa dipersalahkan, sedangkan beliau sendiri pernah membentangkan rayuan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Mengapa harus pertimbang? Kerana dia pernah jadi Perdana Menteri, Menteri Besar, pernah ada jasa pada negara... kedudukan dia di penjara... laporan penjara baik, tak ada timbul masalah. Kesihatan dia umumnya baik tapi sesekali pergi hospital ulang alik. Itu pandangan saya bagi sepenuhnya.
“Jadi terpulang kepada YDP Agong (ketika itu). YDP Agong tangguh keputusan dua kali sehingga Januari tahun lalu. Dan Januari, dikurangkan hukuman dari RM210 juta jadi RM50 juta dan penjara enam tahun dari 12 tahun.
“Saya bukan ahli (Lembaga Pengampunan), saya ahli sebelum 2023 kerana masa itu saya jalankan tugas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas itu baru saya lantik (Datuk) Dr Zaliha (Mustafa), dia hadir saya tak hadir.
"Jadi keputusan (Lembaga Pengampunan) itu dihantar kepada Ketua Pengarah Penjara, dan itu hukuman dia,” katanya lagi.
Anwar berkata, sikap sesetengah pihak tertentu yang menuduh Kerajaan sengaja menyembunyikan Titah Adendum YDP Agong bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah adalah tidak wajar sama sekali.
"Surat tu dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan.
"Dan Peguam Negara kemudian... bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Program Muhibbah MADANI Anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan mengambil masa untuk mengiktiraf kewujudan Titah Adendum berkenaan kerana perlu berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah.
"Kita tertakluk pada prinsip subjudis, maka kita akur dan patuh. Proses di mahkamah itu diteruskan," katanya lagi.
Pada Isnin lepas, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikatakan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sementara itu dalam ucapannya, Anwar berkata, beliau hairan dengan sikap sesetengah pemimpin parti yang mempolitikkan isu tersebut, khususnya Pas yang satu ketika ‘menghentam Najib dari hujung rambut sampai hujung kaki’.
Katanya lagi, beliau mengharapkan agar pihak berkenaan turut bersuara dalam memperjuangkan nasib orang lain yang turut didapati bersalah atas kesalahan mencuri.
“Ini dunia, ada orang kata Anwar harus ditangkap dan harus dihukum gantung. Ini politik sekarang ni, saya tak ada masalah, tetapi apa dia yang Pas ni (dahulu) punya hentam Najib dari hujung rambut sampai hujung kaki, la ni (sekarang) junjung kerana politik.
“Tapi kerana banyak fitnah, semua nak jadi pakar, nak jadi hero. Kalau nak jadi hero, jadi hero rakyat, bela orang susah ramai, berapa ramai orang susah masuk jel kerana curi motor…mana dia suara hangpa?
“Mana dia suara ketika orang susah ditangkap, mana pejuang ni kalau nak jadi pembela. Jadi ini yang saya nak tekankan. Kita sekarang ini masalah ekonomi ada, kos sara hidup ada, harga barang masalah, kita cuba tumpu sebab tu kita sentiasa bekerja kuat,” katanya lagi.