Tangkap segera pelaku letakkan berhala di surau - Mujahid

Sahlizah Mohamed
Februari 24, 2019 16:24 MYT
Mujahid sedang menggaul juadah tradisi masyarakat Cina 'yee sang' pada majlis Jamuan Muhibah Tahun Baru Cina di Subang Jaya pada Ahad. Foto Astro AWANI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menggesa pihak polis mengambil tindakan segera berhubung penemuan dua tokong berhala dalam masa empat hari di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang.
Mujahid turut melahirkan kebimbangan sekiranya perkara ini kekal berterusan, ia akan menimbulkan pelbagai provokasi.
“Saya difahamkan begitulah. Jadi sekali lagi saya tegaskan bahawa pihak polis kena ambil tindakan segera sebab jika dibiarkan akan menimbulkan provokasi.
“Kita tidak mahu melihat negara kita ini dicemari dengan tindakan-tindakan sebegitu rupa,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina di Subang Jaya pada Ahad.
BACA: 'Mujur surau berkunci, kalau tak, mungkin patung diletak dalam surau'
Pada Rabu, penduduk Taman Pendamar Indah terkejut apabila mendapati sebuah patung berhala diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda.
Patung itu dipercayai diletakkan individu tidak bertanggungjawab sebelum disedari oleh seorang siak yang datang untuk membuat persiapan bagi solat Asar di surau berkenaan.
Terbaharu pada Sabtu, kejadian yang sama berulang apabila dua patung berhala agama Hindu diletakkan di atas tembok pintu masuk surau dan tersebut sebelum disedari oleh seorang wanita yang dalam perjalanan ke kelas agama.
“Siapa yang bersalah minta segera ditangkap agar menunjukkan kesungguhan kita untuk menjaga tempat-tempat ibadah khususnya di dalam masjid atau pun surau,” katanya.
#berhala #hina #Jabatan Perdana Menteri #Klang #Mujahid Yusof #polis #provokasi #surau #surau sabilil huda #Tahun Baru Cina #taman pandamaran
;