Tangkap raja bomoh, letak sebilik dengan Anwar Ibrahim - Pendakwah bebas

Wan Syamsul Amly
Februari 14, 2015 13:26 MYT
Dakwaan Ibrahim (gambar) bahawa ada serangan ilmu hitam yang mahu membunuh Anwar di dalam penjara adalah syirik semata-mata, kata Md Daud.
Pihak berkuasa agama diminta segera menangkap 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' atau Ibrahim Mat Zin yang mencetus kontroversi di luar penjara Sungai Buloh
Pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, dakwaan Ibrahim yang menyifatkan ada serangan ilmu hitam yang mahu membunuh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam penjara adalah syirik semata-mata.
"Saya ingat Raja Bomoh ini sudah syirik. Tangkap sahaja dia ini. Jabatan Agama Islam jangan ambil masa lebih lama untuk menangkap individu ini.
"Dia sudah lama bebas dan semakin lama dia dibiarkan begini, entah apa lagi perbuatan syirik yang akan dibuat...memalukan serta merosakkan akidah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Video Raja Bomoh yang mendakwa mahu menghalau hantu raya yang cuba membunuh Anwar Ibrahim di penjara Sungai Buloh. -Sumber YouTube SUARA.TV
Md Daud mengulas video yang disebarkan di laman sosial yang menunjukkan Ibrahim melakukan beberapa upacara, termasuk bermain golf di ruang letak kereta di luar pagar kompleks Penjara Sungai Buloh.
Rakaman berdurasi hampir tiga minit setengah itu menunjukkan Ibrahim menggunakan 'teropong sakti'nya selain mengetuk dua biji kelapa.
Ia dikatakan ritual untuk memberi perlindungan kepada Anwar daripada serangan sihir dan hantu raya yang ingin membunuhnya di dalam penjara.
Katanya lagi, Jabatan Agama Islam juga diharap dapat segera menangkap Ibrahim seperti beberapa kes syirik agama sebelum ini.
"Jalankan tugas seperti yang dibuat kepada Ayah Pin atau Tuhan Haron, ia akan menutup kelemahan dan kepincangan agensi penguatkuasa agama yang mungkin diperkatakan masyarakat kerana lambat menahan Ibrahim.
"Kita ada 14 mufti dan semuanya harus sepakat untuk mengeluarkan arahan penangkapan Ibrahim seharusnya selepas menggemparkan negara kerana ritual mencari MH370 dahulu," tegasnya.
Secara berseloroh Md Daud turut memberitahu, selepas ditangkap, Ibrahim dicadang dimasukkan ke dalam sel sama dengan Anwar di Penjara Sungai Buloh.
"Dia boleh jaga Anwar sepanjang masa, buat ritual kelapa, teropong dan apa sahaja yang boleh untuk menjaga 'kawan sebiliknya'.
"Saya tidak pernah lihat bomoh pakai tali leher seperti Ibrahim ini, agaknya Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama pun boleh tertawa jika melihat Ibrahim ini," jelasnya.
Tahun lepas, Ibrahim menggemparkan negara kerana berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mendakwa dijemput oleh seorang pegawai tertinggi negara bagi menggunakan kaedah ilmu tradisional dan solat hajat untuk mencari pesawat MH370.
Ibrahim juga pernah dilihat berjalan di sekitar kawasan di mana mendiang Karpal Singh meninggal dunia sambil memegang suatu objek serupa sebuah mangkuk selain mendakwa kematian Pengerusi DAP itu berpunca daripada gangguan puaka Gua Tempurung.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Ahmad Zaharin Mohd Saad dilaporkan memberitahu Ibrahim bakal dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor jika siasatan mendapati perbuatannya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini juga pernah menerima ugutan Ibrahim yang mengancam mahu menamparnya "macam buaya" kerana dakwaan aksi bomoh itu memalukan negara.
#Anwar #bomoh #hantu raya #KHAIRY #pendakwah #penjara #Penjara Sungai Buloh #syirik
;