Tangkap ikan secara haram, 2 bot berdaftar di Malaysia ditahan di Indonesia

Bernama
Ogos 19, 2023 11:46 MYT
Lapan kru warga Indonesia ditahan selain 1.4 tan ikan dan peralatan pukat tunda dirampas. - Gambar/ Bernama
JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia menahan dua bot nelayan yang berdaftar di Malaysia yang disyaki menangkap ikan secara haram di perairan wilayahnya di Selat Melaka.
Kedua-dua bot itu dikesan semasa rondaan di koordinat 03o07'814"N-100o41'911"E dan 03o07'501"N-100o41'426"E, masing-masing pada 3.15 pagi Khamis.
Lapan kru warga Indonesia ditahan, 1.4 tan ikan dirampas manakala peralatan pukat tunda dirampas, menurut Ketua Pengarah Sumber Marin dan Perikanan Laksamana Muda Adin Nurawaluddin.
"Disyaki kedua-dua bot ini menggunakan peralatan penangkapan ikan yang dilarang, yang amat merosakkan," menurutnya dalam satu kenyataan.
Mereka telah dibawa ke Pemantauan Sumber Marin dan Perikanan Dumai di Riau untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#Selat Melaka #bot Malaysia #perairan Indonesia #bot ditahan
;