Tangkap ikan di persisiran pantai, juragan kapal pukat jerut ditahan

Qaisara Umaiyah
November 27, 2019 10:05 MYT
PPM Sabah tidak akan berkompromi terhadap apa-apa kesalahan berkaitan aktiviti menangkap ikan oleh kapal nelayan jenis pukat jerut yang berdekatan dengan persisiran pantai. - Astro AWANI
Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dan Jabatan Perikanan Lahad Datu menahan lima buah kapal nelayan jenis pukat jerut di perairan Silabukan dalam Ops Bersepadu Inter Agensi, di sini, pada Selasa.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali dalam kenyataannya berkata, operasi yang bermula pada jam 8.30 pagi itu disertai Pegawai Penyelaras, empat anggota polis dan dua anggota Jabatan Perikanan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kelima-lima kapal tersebut mendapati, kesemua juragan bot yang berusia antara 28 hingga 78 tahun itu sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan Silabukan pada jarak kurang daripada tiga batu nautika dari persisiran pantai.
“Kesemua kapal itu ditahan pada kira-kira pukul 11 pagi," katanya.
Mohamad Pajeri berkata PPM Sabah tidak akan berkompromi terhadap apa-apa kesalahan berkaitan aktiviti menangkap ikan oleh kapal nelayan jenis pukat jerut yang berdekatan dengan persisiran pantai.
Ini kerana, aktiviti tersebut sangat berbahaya kepada nelayan bot kecil dan akan merosakkan ekosistem pantai.
"Kesemua tahanan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen," katanya, merujuk kepada larangan menangkap ikan kurang 8 batu nautika dari daratan terhampir.
#Akta Perikanan #bot #ekosistem #Jabatan Perikanan Lahad Datu #juragan #kapal #Lahad Datu #mohamad pajeri ali #nelayan #operasi #Ops Bersepadu Inter Agensi #Pasukan Polis Marin #polis #PPM #pukat jerut #Silabukan #syarat lesen #tangkap ikan
;