Tangisan sayu bayi dari kotak air mineral
Hakim Rahman
Mac 28, 2017 14:31 MYT
Mac 28, 2017 14:31 MYT
Seorang bayi lelaki ditemui dalam kotak air mineral di tepi tangga tingkat lapan Blok D Flora Damansara di sini pada petang Isnin.
Bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang remaja perempuan yang terdengar suara tangisan bayi itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di tingkat sembilan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, remaja itu kemudian menghubungi ibunya yang berada di tempat kerja sebelum menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan itu.
”Saksi menemui kotak air mineral berkenaan di platform tangga antara tingkat sembilan dan tingkat lapan.
“Dalam kotak tersebut remaja berkenaan menjumpai bayi lelaki yang masih dalam tangisan dan menunggu beberapa minit sebelum membawa bayi ke rumahnya sekali dengan kotak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati itu bayi itu stabil dan baru dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat.
Tambah Mohd Zani, beliau telah mengarahkan anggotanya untuk melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi mengesan ibu bayi berkenaan.
Beliau berkata kain yang digunakan untuk membersihkan bayi itu juga diambil untuk dianalisis.
Siasatan juga mendapati suspek dipercayai menggunakan tangga sama ada dua tangga dari atas atau dua tangga dari bawah, berdasarkan berat kotak dan bayi.