Tangisan di Hari Ibu, anak pasangan Malaysia di Sweden rindukan ibu
Astro Awani
Mei 11, 2014 07:43 MYT
Mei 11, 2014 07:43 MYT
Anak pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin, yang dihukum penjara oleh mahkamah di Sweden, menangis apabila mengenangkan ibunya ketika orang ramai menyambut Hari Ibu.
Keadaan tersebut disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika melawat anak-anak pasangan itu di Melor, Kelantan pada Ahad.
Empat anak pasangan tersebut Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Ariff, 7 kini di jaga ibu saudara mereka Shaleena Norshal, 43, di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor.
Kunjungannya ke rumah itu hari ini selain mahu melihat keadaan mereka, ia juga bersempena sambutan Hari Ibu kerana dirinya tersentuh dengan nasib anak-anak itu.
Keadaan menjadi hening seketika apabila Aishah mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibunya yang kemudiannya menangis sebelum dipujuk Rohani yang turut menitiskan air mata.
Aishah dalam ucapan kepada ibunya menyebut: "To my mom, we would like to say Happy Mothers Day and we love you very much.” (Kepada ibu saya, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu dan kami sayangkan ibu banyak-banyak.)
Rohani kemudiannya turut memberikan sapu tangannya untuk mengelap air mata Aishah yang keadaan itu juga turut menghibakan mereka yang menyaksikan keadaan itu.
Rohani kemudiannya berkata beliau percaya kesemua anak-anak pasangan itu adalah sangat tabah dan kuat menghadapi segala dugaan itu.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan sentiasa menghantar laporan kepada kerajaan Sweden mengenai keadaan anak pasangan tersebut.
Rohani berkata sehingga kini sebanyak 14 laporan mengenai keadaan anak pasangan telah dihantar kepada jabatan sosial Sweden.
“Satu dari pada syarat syarat yang dikenakan oleh Jabatan Sosial Sweden adalah kita mesti menghantar laporan setiap minggu mengenai keadaan anak sebab dia nak mengetahui dan kita dah hantar 14 laporan bermakna 14 minggu dan pada sama pegawai saya sentiasa bersama untuk bersama anak anak dan melapor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat anak pasangan terbabit, petang tadi.
Laporan tersebut telah di hantar selama 14 minggu dan ianya merupakan salah satu syarat yang ditetapkan oleh pihak Sweden bagi membolehkan anak-anak ini dijaga di Malaysia.
Mahkamah daerah Solna sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Shalwati dan 10 bulan terhadap Azizul bagi kesalahan mengasari serta mencabuli integriti anak-anak mereka.
Beliau berkata laporan berkenaan di hantar melalui Wisma Putra sebelum dihantar ke jabatan berkenaan di negara itu.
Katanya kerajaan mahu pihak Sweden tahu anak-anak ini dijaga sebaik mungkin oleh keluarganya dan laporan berkenaan akan di hantar kepada mereka sehingga bulan Jun ini.
Katanya laporan tersebut adalah mengenai emosi kanak-kanak terbabit, persekolahan dan lain-lain, berkaitan anak pasangan ini.
Rohani berkata pihaknya mengekalkan dua pegawai yang memantau perkembangan empat beradik anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden.
Dua pegawai iaitu kaunselor dan pegawai pelindung yang mengendalikan anak pasangan terbabit supaya mereka rasa lebih selesa dan keadaan akan menjadi lebih mudah.