Tanggungjawab pengguna, sokong Kempen Beli Barangan Malaysia

Haikal Raman
November 29, 2020 22:28 MYT
KBBM 2020 akan berlangsung sehingga akhir tahun ini dengan #barangbaikbarangkita.
KUALA LUMPUR: Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu yakin mampu merangsang kepada pemulihan dan daya saing ekonomi khususnya pasca pandemik COVID-19.
Kempen dianjurkan sehingga akhir tahun ini adalah bertujuan memastikan ia dapat memberi impak positif, khususnya memacu sektor peruncitan tempatan.
Kerajaan malah turut menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM1.8 bilion jualan direkodkan bagi segmen runcit utama dan dalam talian sepanjang tempoh kempen dilaksanakan.
Inisiatif ini juga merupakan salah satu strategi bagi membantu para usahawan tempatan terutamanya, agar dapat meneruskan perniagaan meskipun berdepan dengan cabaran sukar ketika ini.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum ini melaporkan lebih 4,500 buah perniagaan ditutup dalam tempoh empat bulan penularan COVID-19 di negara ini. Jumlah tersebut merupakan satu angka yang membimbangkan dan adalah tidak sihat.
Akibat situasi berlarutan, rekod bagi tempoh Mac hingga Oktober turut menunjukkan sebanyak 2,713 syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas sehingga terpaksa gulung tikar.
Mengambil kira situasi tersebut lonjakan sokongan menerusi permintaan domestik diyakini mampu mendorong kepada peningkatan semula graf ekonomi negara dan pendapatan usahawan tempatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid ketika temu bual dalam program Agenda AWANI sebelum ini turut mengusulkan supaya rakyat Malaysia perlu lebih berjiwa patriotik dengan mengutamakan produk barangan tempatan.
“Kita mendapati, masyarakat masih memandang produk tempatan sebagai ‘koman’ (tiada kualiti) dan terkebelakang tetapi mungkin ramai tidak sedar jenama terkemuka seperti Bonia, British India, Ogawa, Secret Recipe, San Franciso Coffee adalah produk tempatan.
“Kami juga ingin menghapuskan loyal brand dalam kalangan pengguna khususnya berasa bangga dengan jenama luar. Justeru itu, kita ingin mendidik masyarakat untuk mengutamakan barangan buatan kita sendiri (tempatan),” katanya.
Beliau turut menyarankan usahawan tempatan agar lebih kreatif dalam idea-idea promosi dan menghasilkan iklan-iklan yang lebih menarik.
Menurut Rosol, pihaknya turut meneroka pasaran atas talian (online) dengan mengaktifkan market place menerusi kerjasama dengan platform jualan online terkemuka seperti Lazada dan Shoppe untuk membantu mempromosikan barangan tempatan.
“Setakat ini terdapat 72,000 SKU berada dalam market place yang mana ia menunjukkan peningkatan menggalakkan berbanding jumlah direkodkan pada suku pertama tahun ini. Usahawan tempatan perlu berubah dan memanfaatkan platform digital dalam perniagaan.
“Bagaimanapun kita sedar bahawa usahawan di luar bandar, pakcik-pakcik dan makcik-makcik mungkin sukar untuk mengendalikan teknologi untuk transformasi kepada perniagaan digital.
“Oleh demikian, terdapat cadangan untuk kita melatih (groom) graduan tempatan untuk membantu golongan ini. Mungkin kita boleh menyediakan satu dana kepada graduan-graduan ini sebagai insentif kepada mereka,” ujarnya.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi inisiatif KBBM pada tahun ini.
#Muhyiddin Yassin #Agenda Awani #Perdana Menteri #ekonomi #PKS #COVID-19 #pandemik #KPDNHEP #KBBM #online #marketplace #Lazada #Shoppe #LoyalBrand #Lokal #SupportLokal
;