Tanggungjawab berat menanti Wisma Putra dalam lima, enam tahun akan datang - Anifah

Bernama
Mac 2, 2014 09:52 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengingatkan petugas-petugas kementerian, khususnya 105 wakil Malaysia di seberang laut tentang tugas yang bakal mereka laksanakan dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.
Beliau berkata Malaysia, selaku Pengerusi Asean, tugas kementeriannya ialah menentukan bahawa Asean mampu mencapai sasarannya untuk muncul sebagai "Satu Komuniti" menjelang akhir 2015.
Menurut Anifah oleh kerana Malaysia kini membida untuk menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dari 2015 hingga 2016, kementerian bertanggungjawab menyatakan pendirian Malaysia dengan jelas tentang isu-isu sebagai sebuah anggota komuniti bangsa-bangsa antarabangsa yang bertanggungjawab dan kredibel.
"Kita akan menjadi hos dan pengerusi Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada 2019. Oleh itu dalam tempoh lima dan enam tahun, kehebatan Wisma Putra akan diuji dan kita mesti mampu melaksanakan tugas," katanya dalam ucapan pada majlis penutupan Persidangan ketua-ketua Misi ke-8 di sini malam Sabtu.
Matlamat persidangan itu antara lain adalah untuk menyampaikan maklumat kemas kini mengenai dasar-dasar domestik Malaysia, keutamaan dan kepentingan, mengkaji prestasi perkhidmatan diplomatik Malaysia dan mengenalpasti cabaran dalam melaksana dasar luar dan diplomasi Malaysia.
Anifah juga berkata Wisma Putra perlu melihat cara terbaik mempengaruhi Asean, PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan hubungan Komanwel, dan bekerjasama dengan negara-negara sehaluan bagi mendapatkan sokongan terhadap inisiatif Malaysia seperti Pergerakan Wasatiyyah Global (GMM).
Tentang persidangan itu, Anifah berkata persidangan menerima banyak input membina dan kementerian akan menghalusi lagi strategi dan program yang dikenalpasti dalam Pelan Tindakan yang diusahakan oleh peserta.
#Anifah Aman #ASEAN #Wisma Putra
;