Tangguh Undi18 keputusan munasabah, namun alasan juga kena munasabah - Presiden MIC
Amirrul Rabbani
Mac 27, 2021 19:13 MYT
Mac 27, 2021 19:13 MYT
SUNGAI SIPUT: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan undi pada usia 18 tahun (Undi18) dan pendaftaran pemilih automatik adalah munasabah berdasarkan situasi semasa.
Itu yang disuarakan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berhubung pelaksanaan Undi18 yang dijangka dilaksanakan selepas 1 September tahun hadapan.
Jelas beliau, ini kerana pelaksanaan Undi18 perlu melalui pelbagai proses pindaan serta peruntukan undang-undang pilihan raya termasuk merangkumi pindaan pilihan raya di peringkat semua negeri.
“Tapi untuk saya kalau memang nak bagi peluang untuk mengundi kepada pemuda ini adalah suatu yang baik tapi kita kena fikir pro dan kontranya. Jangan kita buat keputusan terburu-buru, lepas itu kita menyesal macam GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
“Kalau kita tangguhkan buat seketika dengan alasan yang munasabah, maka kita harus terima… tetapi alasan itu kena munasabah, jangan kita buat alasan sewenang-wenangnya. Kita buat keputusan jangan huru-hara,” katanya kepada pemberita.
Selain itu jelas beliau, isu seperti pendidikan dan ketidaktentuan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 sehingga memberi kesan kepada golongan muda harus diberi keutamaan terlebih dahulu.
Tegas Vigneswaran lagi, apa yang penting, sebarang keputusan yang dibuat kelak mestilah menguntungkan semua pihak termasuk parti politik dan tidak dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa.
Beliau terdahulu ditemui pemberita selepas merasmikan program '1 Force Crime' anjuran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di sini, pada Sabtu.
#Undi18
#undi 18 tahun
#SPR
#pendaftaran pemilih automatik
#Presiden MIC
#MIC
#Vigneswaran
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#PRU