Tangguh umrah: "Saya setuju, tapi buat keputusan mengejut tidak kena" - Khalid

Umavathi Ramayah
Januari 4, 2022 16:55 MYT
Khalid Abdul Samad berkata, sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa, kerajaan wajar memikirkan kaedah dan pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan bukan mengambil tindakan mudah. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan semula penangguhan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari ini.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa, kaedah dan pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang wajar difikirkan pemerintah,
bukannya mengambil tindakan mudah tanpa mengambil kira kesan penangguhan itu kepada pihak-pihak yang terlibat.
"Saya setuju, kerajaan perlu berbuat sesuatu apabila kenaikan mendadak penyebaran virus COVID-19 khasnya Omicron berlaku.
"Namun, menghentikan secara mengejut dengan memberikan notis tempoh seminggu sahaja kebenaran menunaikan umrah ini adalah satu yang tidak kena, Sedangkan masih ada pilihan-pilihan lain yang boleh diusahakan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Pada 1 Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ia susulan 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah dikesan positif COVID-19, setakat 30 Disember 2021 lalu.
Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, kerajaan boleh mengambil pendekatan lain seperti mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk perjalanan menunaikan umrah sama ada sebelum balik dari Arab Saudi atau ketika ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut mencadangkan jemaah melakukan ujian saringan COVID-19 dan memantau pergerakan mereka dengan ketat.
"Jemaah umrah juga boleh diasingkan daripada penumpang-penumpang lain sebaik sahaja mereka mendarat dan pelbagai SOP lain boleh dikenakan.
"Kerajaan juga boleh menggunakan hotel-hotel yang kerugian besar akibat COVID-19 untuk menghidupkan kembali perniagaan mereka dengan dijadikan mereka sebagai pusat kurantin untuk jemaah umrah.
"Boleh juga diwujudkan pusat kuarantin besar khas untuk jemaah umrah yang pulang dari sana seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) atau mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai," ujarnya.
Dalam masa sama, Khalid memaklumkan, pejabat beliau didatangi sekumpulan pengusaha pakej umrah yang jelas kecewa dengan pembatalan yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian jutaan ringgit.
"Saya diberitahu, mereka akan kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan ini kerana menguruskan pakej umrah bukannya dibuat dalam masa sehari dua tetapi semua telah siap ditempah berbulan sebelumnya.
"Hotel telah ditempah, sepertimana juga penerbangan dan segala perkhidmatan di Mekah dan Madinah bagi urusan ini. Sebelum ini, bila COVID-19 mula-mula melanda di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas Perdana Menteri), mereka telahpun kerugian besar dan beberapa pengusaha telahpun gulung tikar," katanya lagi.
Khalid memberitahu, berdasarkan maklumat yang diberi, adalah jelas bahawa langkah kerajaan Malaysia kelihatan terburu-buru, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Arab Saudi masih lagi membenarkan umrah dan lebih daripada itu, sudah mula membuka visa ziarah bagi pelancong dari beberapa negara.
Katanya, langkah kerajaan dibuat tanpa perbincangan yang menyeluruh dengan pengusaha pakej umrah.
"Ianya boleh disamakan dengan tindakan kerajaan mengimport ayam sejuk beku ketika mahu menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam baru-baru ini," ujarnya.
AWANI Pagi: Penangguhan Umrah | Adakah ia langkah terbaik?
#umrah #tangguh perjalanan #Omicron #Khalid Samad
;