Tangguh solat Jumaat, solat berjemaah dan ceramah di masjid sehingga 31 Mei - Sultan Selangor

Farhana Joni
April 13, 2020 14:32 MYT
Sultan Selangor bertitah supaya solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti ceramah di masjid, surau serta musolla di negeri itu ditangguhkan sehingga 31 Mei depan. - Gambar fail
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan, agar solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti ceramah di masjid dan surau di negeri itu ditangguhkan sehingga 31 Mei depan.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, keputusan itu berkuatkuasa serta merta bagi mengurangkan jangkitan COVID-19 selain usaha memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.
Kata beliau, bagaimanapun Baginda bertitah, jika wabak itu dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal daripada tarikh tersebut, maka arahan baharu akan dikeluarkan.
"Keputusan melanjutkan penangguhan itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas, antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini (Isnin).
"Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan Solat Zuhur dan solat fardhu manakala Solat Sunat Tarawih pula hendaklah dilakukan di rumah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook, Pejabat Diraja Selangor, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut menitahkan setiap rakyat perlulah lebih serius mencegah jangkitan COVID-19 dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial.
"Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap 6.5 juta penduduk Selangor, yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan COVID-19 sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.
"Baginda berharap tidak ada lagi rakyat negeri ini yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak tersebut," kata beliau.
Dalam pada itu, Mohamad Munir memberitahu, Sultan Selangor turut mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita palsu, yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.
"Baginda dukacita dengan penyebaran berita-berita palsu (fake news) dan video-video palsu (fake videos) berkaitan wabak ini yang semakin menular," kata beliau lagi.
#Aidilfitri #Allah #coronavirus #COVID-19 #Islam #JAIS #Kementerian Kesihatan #koronavirus #meninggal dunia #Ramadan #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah
;