'Tangguh sementara perjalanan ke Genting Highlands'
Sinar Harian
Jun 29, 2024 17:40 MYT
Jun 29, 2024 17:40 MYT
BENTONG: Orang ramai yang yang berhasrat untuk ke Genting Highlands dinasihatkan agar menangguhkan sementara perjalanan ekoran berlaku kesesakan lalu lintas disebabkan kemalangan bas persiaran di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di sini pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kesesakan teruk lebih satu jam dilaporkan berlaku dari Tol Gombak ke lokasi kejadian.
"Menurutnya, sehingga jam 4 petang, kerja-kerja mengalihkan badan bas yang terbalik belum dapat dilakukan kerana kenderaan tunda dalam perjalanan ke lokasi turut tersangkut dalam kesesakan.
"Proses mengalih bas terbabit cuba dipercepatkan dengan kerjasama pihak-pihak terlibat bagi memastikan aliran trafik di laluan itu kembali berjalan lancar," katanya.
Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan, bas persiaran membawa 21 penumpang termasuk pemandu terbalik meragut dua nyawa pelancong lelaki warga China.
Pemandu bas, dua pemandu pelancong warga tempatan dan 16 penumpang warga China yang dilaporkan cedera berjaya dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Seramai 13 mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi dirawat di Hospital Bentong. - Sinar Harian