Tangguh projek HSR keputusan wajar - Ketua Pembangkang DUN Johor

Bernama
Jun 13, 2018 05:05 MYT
HASNI: Ini juga membolehkan negara membangunkan pusat kecemerlangan industri rel, sama seperti negara membina Menara KLCC dan Litar F1 suatu ketika dahulu. - Gambar fail
Keputusan kerajaan tidak membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sebaliknya hanya menangguhkannya adalah wajar.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kewajaran itu berpaksikan kepada potensi industri rel yang bakal wujud menerusi projek berkenaan yang sudah tentu akan memberi peluang kepada rakyat untuk menceburinya.
Ini juga membolehkan negara membangunkan pusat kecemerlangan industri rel, sama seperti negara membina Menara KLCC dan Litar Formula Satu suatu ketika dahulu, kata beliau dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
"Feel good factor amat diperlukan supaya dunia memandang tinggi terhadap hala tuju negara kita. Bagi rakyat Johor pula, cuba kita bayangkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia menjadi pusat kecermerlangan industri rel dan di Skudai pula akan dibina depoh bagi tujuan latihan penyelenggaraan dan pembaikan.
"Itu sudah tentu akan membuka peluang latihan dan pekerjaan yang banyak kepada rakyat amnya dan Johor khususnya," kata Hasni.
Semalam, ketika memberi taklimat kepada media mengenai hasil lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak membatalkan projek tersebut tetapi hanya menangguhkannya.
Keputusan itu berikutan kerajaan belum mampu melakukannya buat masa masa ini namun beliau tidak menafikan terdapat keperluan untuk kereta api berkelajuan tinggi di masa depan.
-- BERNAMA
#batal #DUN #feel good factor #Hasni Mohammad #HSR #INDUSTRI REL #Johor #Johor Bahru #Kereta Api Berkelajuan Tinggi #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #pekerjaan #pembangkang #projek #pusat kecemerlangan #Singapura #tangguh
;